Sumber : web jheains

Oleh: Ahmad Haji Yassin

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha memberikan sokongan dan kerjasama terhadap segala program yang diatur dan dirancang oleh pihak Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ke arah memantapkan lagi Institusi Al-Quran di negeri ini, kata Menteri Di Jabatan ketua menteri Dato Seri Haji Nasir Tun Haji Sakaran. Jesteru itu, beliau menyarankan agar pengurusan Maahad Tahfiz Negeri Sabah dapat mempelbagaikan fungsi dan peranannya dalam usaha mengembangkan pengajian Al-Quran di negeri ini.

Dato Seri Haji Nasir menyatakan perkara ini semasa berucap pada Istiadat Konvokesyen Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang kali pertama diadakan di Sabah dan ianya diadakan di Ballroom Magellan Sutera Harbour Kota Kinabalu pada pagi ini.

Menurut Dato Seri Haji Nasir yang juga menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam di negeri ini berkata penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat di negeri Sabah sejak tahun 1995 merupakan usaha ke arah melahirkan lebih ramai tahfiz dan hafizah di negeri ini.

Menurut beliau sejak Mahaad Tahfiz Al Quran Wal-Qiraat ini ditubuhkan sejak 17 tahun yang lalu, ianya berjaya melahirkan seramai 60 orang hafiz dan hafizah di negeri ini. Katanya, kerajaan negeri memang komited dalam menyediakan peruntukan besar dalam menyediakan kemudahan asas seperti masjid, surau, sekolah agama Islam termasuk pembinaan kolej Islam dan institusi tahfiz seperti Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah ini, katanya.

Tegasnya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar ini dalam bajet tahunan demi memacu pembangunan Islam di Sabah telah benar-benar memberikan impak yang menyeluruh terhadap pembangunan umat Islam. Katanya, kerajaan negeri amat mengharapkan agar para hafiz dan hafizah yang telah berjaya memperolehi diploma agar dapat dimanfaatkan ilmu yang diperoleh itu untuk pembangunan ummah melalui pelbagai pendekatan mengajar dan menyebarluaskan syariat Islam yang terkandung di dalam Al-Quran supaya benar-benar dapat difahami, dihayati dan seterusnya diamalkan oleh umat Islam.

Beliau juga amat mengharapkan para hafiz dan hafizah di negeri ini agar menjadi kumpulan yang berada di depan dalam masyarakat demi menghidupkan budaya celik dan cintakan Al-Quran. Apabila umat Islam celik Al-Quran pasti umat Islam akan menjadi umat yang berjaya, maju dan cemerlang di dunia dan juga di akhirat. Katanya, sejarah telah membuktikan bilamana Rasullah SAW telah berjaya membina negara Islam Madinah yang mampu menguasai satu pertiga dunia dengan mempraktikkan ilmu yang terkandung di dalam kitab suci Al-Quran dimana di dalam Al-Quran itu sendiri terkandung pelbagai disiplin ilmu yang mencakupi ilmu pengurusan, ekonomi, politik, perundangan, sosial dan sebagainya, tegasnya.

Sementara itu, dalam ucapan Pengarah JHEAINS, Datuk Haji Amri A. Suratman berkata, Majlis Konvokesyen yang pertama kali diadakan di Sabah, ianya merupakan satu peristiwa yang paling indah dan amat bermakna kepada umat Islam di Sabah khususnya bagi Maahad Tahfiz Al- Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah, para pensyarah dan pelajar-pejaranya kerana pada hari ini seramai 11 orang graduan dalam bidang Tahfiz termasuklah seorang penerima Sijil Hafiz Al-Quran.

Datuk Haji Amri juga mengucapkan tahniah kepada para graduan yang menerima diploma masing-masing. Semua ini adalah atas daya usaha serta kegigihan serta sifat sabar mereka dalam menjalani sesi pembelajaran mereka. Katanya, menaruh keyakinan tinggi bahawa kejayaan yang dicapai oleh graduan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ini merupakan titik tolak permulaan graduan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ke arah bersiap sedia untuk berkhidmat dan menabur khidmat bakti kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara, tegasnya.

Katanya, mengimbas kembali penubuhan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ini, pada 17 tahun yang lalu tidak semudah yang difikirkan pada awal penubuhannya Maahad Tahfiz beroperasi dengan menumpang di Masjid Negeri, kemudiannya menyewa sebuah bangunan di Sembulan dan sekarang beroperasi di Kepayan (Sekolah Agama Islam Tg. Aru) untuk sementara waktu. Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh Maahad Tahfiz termasuklah tenaga pengajarnya yang kecil.

Katanya, diawal beroperasi pengambilannya, hanya 8 orang yang menjadi pelajar perintis Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah. Pada tahun ini, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat mempunyai pelajar seramai 42 orang. Dengan berkat usaha gigih serta dedikasi para pensyarahnya sejak 17 tahun lalu hingga ke hari ini, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat telah berjaya melahirkan 60 orang huffaz sejak penubuhannya pada tahun 1995, katanya.

Pada Istiadat Konvokesyen, Nor Fareza bte Jibidah telah nobatkan sebagai pelajar cemerlang (Mumtaz). Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu, Selangor Tuan Haji Paimuzi Yahya, Timbalan-Timbalan Pengarah JHEAINS, Haji Rumaling Epit (P), Ustaz Mohd Sidek Ag. Adi (HEI), Ketua-Ketua Penolong Pengarah JHEAINS, pensyarah-pensyarah Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah dan ibu bapa.

Koleksi foto lain dan catatan versi Abu Nuha Corner akan disiarkan selepas ini.. 🙂