Saat berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah kali pertama di Magellan Sutera Habour 28 Ogos lepas, saya teringatkan beberapa watak penting dalam menubuhkan maahad ini terutamanya Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi (al-Fatihah untuk beliau) selaku mudir pertama, pencetus idea dan pendidik kami. Begitu juga nama-nama lain seperti Tuan Abd Rashid Yusuf, Tuan Haji Uda Sulai dan ramai lagi yang masing-masing tercatat pahala tersendiri dalam menjayakan penubuhan maahad ini.

Sangat sentimental sekali perasaan saya di atas pentas konvo, kerana suatu ketika saya berada di saat detik awal penubuhan awal sebagai pelajar pertama bersama rakan-rakan lain antara 1995-1999. Di kalangan lapan orang pertama  kami sebagai pelajar pertama, hanya saya seorang yang berada di dewan konvokesyen walaupun kali ini sebagai salah seorang pensyarah maahad. Sedikit terkilan juga, hajat mengundang alumni maahad yang sudah berjumlah lebih 60 orang terpaksa dibatalkan.

Sementara di kalangan pensyarah awal maahad, hanya Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim yang ada di dalam majlis ini. Tenaga pengajar awal yang lain ketika zaman maahad bermula ialah Ustaz Haji Abu Bakar Omar yang khabarnya sedang sakit di Melaka, Ustaz Pajudin Nordin (kini di Tuaran) dan Ustaz Zaidi Edward (kini di Kuala Lumpur) selain Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi yang kembali kerahmatullah pada 9 Januari 2012.

Sesudah 17 tahun penubuhan dan mempunyai 13 lapis generasi, inilah kali pertama konvokesyen diadakan di Negeri Sabah yang sebelum ini hanya menyertai konvokesyen di peringkat Darul Quran bersama-sama seluruh penerima diploma tahfiz al-Quran yang biasanya menjangkau ratusan penerima dari seluruh negara. Barangkali hujah paling wajar ialah kerana sejak dulu lepasan setiap tahun hanya sekadar 4-5 orang graduan sahaja. Tahun ini pula, sebenarnya menggabungkan dua generasi iaitu 2011 dan 2012. Itu pun sebahagian graduan 2011 kini sudah berada di Mesir.

Sesungguhnya dengan majlis yang bermakna ini mudah-mudahan akan menyebarkan dakwah ke masyarakat Islam khususnya di Sabah tentang suatu ibadah yang namanya menghafaz al-Quran, martabat dan keutamaannya yang tersendiri di dalam agama Islam serta kepedulian masyarakat terhadap generasi mereka akan mencintai al-Quran. Terima kasih pihak media yang datang mewarwarkan majlis ini termasuk wakil TV Hijrah, RTM, dan semua media akhbar.

Tahniah buat anakanda Nor Fareza Jibidah – siswi kelahiran Kg Kelatuan Papar yang dinobatkan sebagai pelajar mumtaz yang memperolehi 3.85 CGPA, suatu keputusan yang amat membanggakan dan terbaik pernah dicapai oleh graduan maahad ini. Menjadi ketentuan Allah SWT, Kg. Kelatuan adalah juga kampung kelahiran Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi. Tahniah juga kepada graduan yang lain – Norazidi Madunin, Mohd Faisal Jahari, Muammar Hamidin Ridwan, Noraizon Dilim, Fameza Mohd al-Haj, Fatimah Musleh, Anisah Rijim, Habibah Wahadi dan seorang persijilan iaitu Mohd Sadri Ilmi.

Perjuangan kalian baru bermula dengan kewajiban menjaga hafazan al-Quran, menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi seterusnya menyebarkan ilmu kepada masyarakat kelak. Terima kasih atas kehadiran pelbagai pihak yang memeriahkan majlis ini.