Ini musibah yang menimpa sepupu kepada isteri saya di Alor Gajah Melaka. Sekarang berada di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Pohon doa kawan-kawan pembaca blog ini untuk keselamatan dan kebaikannya.  Semoga ada hikmah yang terkandung di sebalik kejadian ini.  Foto di atas diperolehi dari facebook abang ipar kepada mangsa yang melawat kejadian. Berita berikut pula disiarkan dalam akhbar Harian Metro.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Parahrempuhlembu/Article/

ALOR GAJAH: Seorang pekerja restoran cedera parah di kepala dan patah tangan kanan apabila motosikal ditunggangnya merempuh kumpulan lembu di Jalan Sungai Ragut, Ayer Paabas, dekat sini, pagi semalam. Dalam kejadian jam 1.40 pagi, Adi Sabri Zulkefli, 21, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar makan bersama tiga rakan.

Rakan mangsa, Mohd Razi Azmi, 20, berkata, dia bersama mangsa serta dua lagi rakannya, Amir Abdul Mutalib, 21 dan Mohd Azwan Abd Kadir, 21, dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing menaiki kenderaan berasingan. Menurutnya, dia yang berada 50 meter dari lokasi kemalangan sebelum itu terdengar dentuman kuat seperti objek terjatuh di atas jalan raya.

“Saya pergi ke arah bunyi itu sebelum melihat mangsa terbaring menggelupur menahan kesakitan sambil mendengus dalam nada tersekat-sekat. Ketika itu darah memancut keluar dari belakang kepala tanpa henti manakala kaki kanannya dihempap motosikal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Mohd Razi berkata, ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas dihubungi dan membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Mohd Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.46 pagi dan sebuah ambulans dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, penunggang motosikal itu masih terbaring di atas jalan raya dalam keadaan separuh sedar dan menggelupur manakala kepalanya berdarah. Difahamkan, mangsa yang mengalami pendarahan dalam kepala dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan ,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian dan berkata, mangsa yang koma kini dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012