Archive for 31 Ogos 2012


Khatib : Ramli Haji Ismail

Lokasi : Masjid Nurul Iman Pekan Weston Beaufort

Para ulama Islam telah menggariskan lima kepentingan yang wajib dijaga oleh pemerintah yang tiada tolak ansur untuk mengabaikannya agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran. Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah :-

Pertama: Menjaga Agama. Sebagai pemerintah maka menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama ditempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Pemimpin yang menjaga agama akan menjadi seorang yang adil dan berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Mereka  yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Namun perlu diingat di dalam kita menjaga agama pelbagai cabaran yang perlu di atasi antaranya aliran pemikiran pluralisme, liberalisme, LGBT dan lain-lain lagi. 

 Kedua: Menjaga nyawa,   Islam mengharamkan penumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud : Seseorang Islam itu ialah yang menyelamatkan kaum muslimin melalui lidah (bicara) dan tangannya (kuasa dan perlakuan), dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka. (Riwayat al-Tirmizi).

Ketiga: Menjaga akal. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal seperti arak, dadah wajib dibanteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal yang mampu mempertahankan kemerdekaan negara.

Keempat: Menjaga maruah dan keturunan.  Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabie manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya.

Kelima: Menjaga harta, Dalam menjaga harta Islam telah mengariskan prinsipnya iaitu  al-adl wal ihsan. Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 29 :

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.

Ini musibah yang menimpa sepupu kepada isteri saya di Alor Gajah Melaka. Sekarang berada di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Pohon doa kawan-kawan pembaca blog ini untuk keselamatan dan kebaikannya.  Semoga ada hikmah yang terkandung di sebalik kejadian ini.  Foto di atas diperolehi dari facebook abang ipar kepada mangsa yang melawat kejadian. Berita berikut pula disiarkan dalam akhbar Harian Metro.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Parahrempuhlembu/Article/

ALOR GAJAH: Seorang pekerja restoran cedera parah di kepala dan patah tangan kanan apabila motosikal ditunggangnya merempuh kumpulan lembu di Jalan Sungai Ragut, Ayer Paabas, dekat sini, pagi semalam. Dalam kejadian jam 1.40 pagi, Adi Sabri Zulkefli, 21, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar makan bersama tiga rakan.

Rakan mangsa, Mohd Razi Azmi, 20, berkata, dia bersama mangsa serta dua lagi rakannya, Amir Abdul Mutalib, 21 dan Mohd Azwan Abd Kadir, 21, dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing menaiki kenderaan berasingan. Menurutnya, dia yang berada 50 meter dari lokasi kemalangan sebelum itu terdengar dentuman kuat seperti objek terjatuh di atas jalan raya.

“Saya pergi ke arah bunyi itu sebelum melihat mangsa terbaring menggelupur menahan kesakitan sambil mendengus dalam nada tersekat-sekat. Ketika itu darah memancut keluar dari belakang kepala tanpa henti manakala kaki kanannya dihempap motosikal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Mohd Razi berkata, ambulans Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas dihubungi dan membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Mohd Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.46 pagi dan sebuah ambulans dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, penunggang motosikal itu masih terbaring di atas jalan raya dalam keadaan separuh sedar dan menggelupur manakala kepalanya berdarah. Difahamkan, mangsa yang mengalami pendarahan dalam kepala dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan ,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan ada menerima laporan mengenai kejadian dan berkata, mangsa yang koma kini dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : 30/08/2012

%d bloggers like this: