Archive for 28 Ogos 2012


Insya Allah, kuliah akan kembali selepas cuti hari raya bermula 3 September 2012 (Isnin) menurut jadual yang telah tercatat di atas.

Jaulah ukhuwwah keluarga kami untuk meluas dan memperbanyakkan persemendaan bermula pada pagi khamis lepas dengan tiga perjalanan berbeza. Rombongan dari WP Labuan seramai lima orang bertolak pada jam 9 pagi, sementara abang dari Terminal 2 LTAKK pada jam 11 pagi dan saya pula dari Terminal 1 LTAKK pada jam 12.45 tengahari. Anak buah kami – Alif yang belajar di Seremban menanti saya selaku ahli rombongan terakhir pada jam 3.30 petang di KLIA untuk kami bergerak bersama-sama ke Pekan Pahang.

Ketibaan kami disambut di LCCT dan KLIA oleh wakil keluarga pihak perempuan sekaligus menyediakan dua buah kereta untuk kami tumpang dari KLIA ke Pekan Pahang. Perjalanan menyeronokkan dengan pemandangan indah dan cerita-cerita menarik, walaupun sesekali terlena kerana perjalanan yang panjang. Dua kali berhenti di hentian R&R, sekali untuk minum-minum dan kali kedua untuk solat jamak maghrib-isyak.

Alhamdulillah, kami tiba di rumah keluarga perempuan di Taman Perumahan Peramu Jaya 3 untuk sesi berkenalan dan perbincangan bagi persiapan akhir majlis pernikahan dan perkahwinan adik bungsu kami Syahnon dengan pasangannya Nurul Huda Mohd Derus. Perbincangan sangat lancar dan saya melihat keluarga ini terutama ayah pengantin perempuan tidak mahu menyusahkan urusan majlis ini.

Sempena keberadaan rombongan kami seramai lapan orang di sini, pihak keluarga perempuan menyediakan dua buah kenderaan dan menyewa sebuah rumah – inap desa yang agak besar dan luas selama 3 malam dengan hanya bayaran RM200 semalam, dua malam dibayar oleh keluarga perempuan dan satu malam lagi kami sendiri. Alhamdulillah, penerimaan dan sambutan pihak keluarga perempuan sangat baik dan kami menghargai kebaikan mereka kepada kami.

%d bloggers like this: