Saya suka catatkan kisah kunjungan mereka dalam satu entri khas ini. Saya berkongsi kegembiraan dengan pembaca tegar blog ini, bahawa Ustaz Haji Iqbal Said sekeluarga adalah seperti keluarga saya sendiri. Paling mengenangkan, – seperti yang pernah saya catatkan dulu-dulu, ialah Nur Batrisya Balqis yang menjadi teman rapat Nuha ketika di Mesir.

Ummi mereka, Ummu Nuha dan Yati adalah teman rapat sejak sekolah, perkahwinan Yati dan Iqbal di Bongawan kami ziarahi sementara di Mansoura Mesir kami agak rapat dan saling berziarah antara satu sama lain. Sama-sama mengandung anak pertama, berkongsi maklumat dan pengalaman antara satu sama lain, sementara saya dan Iqbal pula berkongsi tarikh lahir yang sama juga!

Pada 3 Ogos 2003, Nuha selamat dilahirkan dan 3 hari kemudian giliran Balqis pula. Kedua-duanya lahir di rumah masing-masing. Ketika Nuha dilahirkan, Yati yang sarat dan menanti hari sempat berziarah ke rumah kami juga. Ketika sibuk menangani Nuha, kegembiraan kedua terzahir dengan Yati pula mengambil giliran bersalin anak pertama. Bahkan kenduri kesyukuran dan tahnik Nuha dan Balqis kami berkongsi majlis di rumah Iqbal.

Raya baru ini, Nuha dan Balqis kelihatan malu-malu. Maklum saja mereka bertemu beberapa tahun sekali. Ketika mereka meninggalkan rumah kami selepas ziarah, Nuha mula menegur Balqis : “Balqis, nanti datang lagi yaa..” Saya berharap mereka akan bersahabat sehingga dewasa.