Mahathir Abdul Hamid, yang kami panggil di sekolah dahulu dengan panggilan ‘Lai’. Beliau senior saya ketika di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu namun agak rapat juga kerana berasal dari daerah yang sama. Beliau dikenali di sekolah sebagai pelajar yang aktif dalam berorganisasi dan berpersatuan. Alhamdulillah, selepas selesai sekolah beliau menyambung pengajian di Universiti Brunei dan kini berkhidmat di Perbadanan Labuan. Kami bertemu raya pertama di rumah saudara di Kampung Rancha-Rancha.

Keenam-enam kami adalah kumpulan semarhalah melanjutkan pengajian di Mesir pada tahun 2000. Nubli Abdul Ghani dan Haji Sahrum Samlan sama-sama belajar sebelumnya di Kelantan sementara saya bersama rakan-rakan rombongan Darul Quran. Ketiga-tiga isteri kami pula sepersekolahan di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah dan juga di Mesir. Masing-masing berjodoh dengan tempat pengajian yang sama. Alhamdulillah pertemuan dirakamkan di rumah Ustaz Sahrum di Kampung Sungai Bedaun.

Dalam foto ini menggabungkan tiga keluarga utama. Di sebelah kanan bapa kami (berkopiah putih) ialah adiknya dan di kirinya ialah adik ipar beliau bersama keluarga besarnya yang juga masing-masing mempunyai keluarga kecil-kecil masing-masing. Itu pun ada yang tidak turut serta dalam rombongan ini. Di sebelah kiri saya ialah seorang lagi adik bapa kami dan isterinya. Berbangga juga kami mempunyai keluarga yang besar. Sebahagian keluarga lagi di sebelah bapa ada di Brunei, Kota Kinabalu, Johor dan Labuan sendiri. Kalaulah boleh mengadakan pertemuan keluarga besar ini…

Kedua-duanya sahabat sejak sekolah rendah darjah 4-6 di SK Pekan 2 WP Labuan tahun 1989-1991 yang kami masih berhubung walaupun satu ketika pernah terputus sebentar. Cikgu Norhayati Yahya kini bertugas di SK Bukit Kalam WP Labuan dan Cikgu Hezri Bali baru berpindah ke Miri awal tahun ini. Saya gembira dapat bertemu rakan sekolah dan berharap dapat bertemu dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Ini rakan sepermainan sejak tahun 1984 hingga kini. Farizey John atau nama manjanya But sejak kecil sehingga kami masing-masing berkeluarga, nama itu masih melekat lagi. But adalah kawan sekampung dan sepersekolahan sejak tadika yang hanya berjalan kaki dari rumah, dan kami bersama-sama sekelas sehingga darjah 3 di SK Lubuk Temiang yang letaknya bersebelahan rumah kami. Darjah 4 saya berpindah ke sekolah lain di bandar kerana bapa inginkan lebih cabaran buat saya – kerana (kononnya) ketika darjah 1 hingga 3 dengan 9 kali peperiksaan, semuanya saya nombor satu. Hehehe..

Ini Encik Ladin Yunos orang kampung saya yang merantau macam saya juga di Kota Kinabalu sudah berbelas tahun. Beliau tinggal di Bandar Sierra dan jadi pegawai di Jabatan Perikanan Sabah. Barangkali inilah kesan hidup di bandar besar, kerana kami biasanya bertemu di kampung apabila hari raya saja. Di Kota Kinabalu tiada pertemuan kami kecuali jika terserempak di tengah jalan sekali dua sahaja. Menarik apabila bertemu, informasi politik semasa menjadi tajuk sembang kami.

Ketika rumah terbuka WeLL (rujuk artikel lepas) di rumah kami, saya akan-akan mengenali sosok wajah ini. Rasanya ini pertemuan yang akan saya kenang kali ini kerana bertemu dengan seseorang yang pernah menjadi rakan setadika pada tahun 1984 di Tadika Lubuk Temiang. Awang Khairul  atau Aweng Junior di FB mengingatkan saya bahawa dia hanya bertadika beberapa bulan sebelum berpindah ke bandar bersama keluarga. Tiada pertemuan selepas itu yang saya ketahui melainkan hari raya ini – bererti selepas 28 tahun.

Sebenarnya saya rindukan pertemuan-pertemuan lain ketika hari raya sebegini khususnya dengan rakan-rakan sekolah dan guru-guru yang pernah mengajar sejak kecil terutama yang tidak pernah ditemui selepas zaman sekolah. Saya tahu mungkin agak malu-malu atau janggal kerana masing-masing sudah berubah penampilan diri dan sebagainya. Sebahagian kecil kawan-kawan zaman tadika dan sekolah rendah masih saya ingati dan ingin benar bertemu mereka sementara kawan-kawan yang lain mungkin perlu diperkenal dan diingatkan semua oleh kawan-kawan yang lain pula.

Masa yang suntuk di WP Labuan tempohari, saya berusaha untuk bertemu dengan Cikgu Abindi Samat (guru darjah 3), Cikgu Raefah Suhaili (guru darjah 5), Cikgu Rosnah Ismail (guru darjah 4) dan lain-lain tetapi belum berkesempatan. Insya Allah awal disember kami sekeluarga akan pulang bercuti di Labuan lagi sempena perkahwinan adik kami mudah-mudahan dapat bertemu dengan mereka.