Archive for 25 Ogos 2012


WeLL merujuk kepada satu kumpulan terbuka facebook ‘We Love Labuan’ yang diasaskan oleh abang sulung saya lebih setahun lalu. Bermula dengan ahli keluarga kami dan teman-teman rapatnya, ia kemudiannya berkembang dan sehingga hari ini ahli kumpulan WeLL ini sudah mencapai 6 ribu orang.

Kata-kata muqaddimah bagi kumpulan ini ialah :

“Kalau anda orang Labuan atau pernah tinggal di Labuan, dan sayangkan Labuan, Group ini adalah untuk anda. Mari kita bincang isu-isu menarik dan penting untuk dikupas agar Labuan lebih maju, makmur dan cemerlang untuk SEMUA. Beri pendapat yang bernas, untuk membina bukan membinasa atau mencerca. Kami akan cuba bentangkan idea-idea anda kepada pihak yang berkenaan. Anda juga dijemput untuk menghantar cerita-cerita atau gambar-gambar menarik tentang Labuan untuk dikongsi bersama. Jangan lupa jemput kawan-kawan lain untuk join. Terima kasih di atas sokongan anda!”

Saya bukanlah penulis aktif di kumpulan ini. Hanya sesekali saya menyampuk jika berkaitan atau menarik perhatian saya. Tetapi sebarang usaha untuk membincangkan isu-isu semasa di Labuan adalah sesuatu yang amat baik demi kemaslahatan penduduk pulau ini. Sepanjang pemerhatian saya, antara isu yang panas dan menggegar di dalam kumpulan ini ialah isu perkhidmatan feri penumpang Labuan-Menumbok yang sering menjadi keluhan pengguna.

Berkait rapat isu feri ialah permintaan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan-Menumbok bagi kemudahan dan kebaikan semua pihak. Saya kira ia banyak diluahkan oleh ahli kumpulan ini kerana meyakini keuntungan dan masa depan yang lebih baik bagi kebajikan rakyat, kesan ekonomi jangka pendek dan panjang untuk Labuan sendiri, perhubungan dua hala pulau dan tanah besar dan sebagainya. Permintaan bagi pembinaan jambatan ini sudah menjadi satu kesepakatan umum bagi penduduk Labuan.

Saya kira mana-mana pihak – dalam konteks ini BN atau Pakatan Rakyat yang boleh meyakinkan pengundi di pulau ini khususnya dalam menjanjikan pembinaan jambatan menghubungkan dua wilayah ini boleh mempengaruhi undi kemenangan kepada calon parti berkenaan. Isu jambatan adalah isu besar di Labuan dan sangat segar perbincangannya di dalam kumpulan FB WeLL ini.  Begitu juga isu-isu lain yang memeriahkan status kumpulan ini ialah foto-foto keindahan panorama Labuan, pencarian rumah sewa, kerja kosong, pelbagai iklan, isu-isu keagamaan, kemalangan jalanraya dan jenayah yang sesekali mengejutkan kedamaian pulau ini dan sebagainya.

Kepada sebahagian kecil penghuni kumpulan ini yang sanggup datang ke rumah kami pada 3 Syawal 1433 tempohari, atas wasilah berkenalan di alam realiti bukan di alam siber, terima kasih atas kesudian kalian dan saya juga kongsikan sebahagian kecil foto-foto pertemuan berkenaan. Saya turut bertemu dengan rakan sekolah tadika pada tahun 1984 dan seorang rakan sekolah lain sejak 1984-1988. Sebahagian sanak saudara kami juga hadir bertemu mengeratkan silaturrahim, dengan majlis doa selamat diadakan secara ringkas bagi meraikan keberangkatan rombongan keluarga kami ke Pekan Pahang.

Bagi mereka yang berkenaan, dijemput ke kumpulan FB berkenaan : http://www.facebook.com/groups/welovelabuan/

Permulaan kami.

Alhamdulillah, sekali lagi tahun ini kami diberi kesempatan oleh Allah SWT menyelesaikan ibadah Ramadhan dan berhari raya pula di kampung halaman saya – di Kampung Lubuk Temiang W.P. Labuan. Tahun ini juga abang sulung kami bersama keluarga yang bermastautin di Taman Indah Permai Sepanggar Kota Kinabalu juga berhari raya bersama-sama di Labuan. Hanya anak sulungnya juga cucu sulung keluarga besar ini yang berhari raya di Seremban buat tahun kedua berturut-turut.

Kecuali abang nombor dua kami yang berhari raya di rumah mertuanya di Semporna Sabah, semua adik beradik yang lain bersama keluarga masing-masing berkumpul di WP Labuan. Hanya adik bungsu kami yang masih sendirian bujang berhari raya buat kali terakhir kerana pada 24-25 Ogos (semalam dan hari ini) dia menamatkan zaman bujangnya di Pekan Pahang bersama isterinya. Catatan dan foto berkenaan majlis pernikahan dan resepsi adik kami akan saya paparkan di blog ini dalam artikel akan datang.

Kami siap berkumpul sejak jumaat lagi, bersungkai bersama-sama, sempat menyambut ulangtahun pertama cucunda ke-20 bersama-sama walaupun serba ringkas, kemudian bergerak ke masjid untuk menyertai solat tarawih pada malam ke 29 Ramadhan. Pagi hari raya saya diamanahkan menyampaikan khutbah eidul fitri di hadapan sekitar 700 jamaah yang memenuhi ruang masjid di kampung kami. Saya baru dimaklumkan amanah itu pada malam hari raya kerana khatib yang bertugas kurang sihat.

Sekembali dari masjid, sesi bersama keluarga, bermaafan, bergambar kenangan dan menyampaikan duit hari raya tanda kegembiraan kepada anak-anak kami semua. Kesempatan yang ada kami juga berkumpul di rumah membacakan yasin dan doa buat keluarga yang telah mendahului kami sebelum ini. Hanya selepas itu kami beramai-ramai berziarah ke kubur pula saling memperingatkan kepada generasi kami akan kehidupan yang selanjutnya serta mengingatkan mereka generasi terdahulu agar mereka tetap mendoakan dan menghargai kehidupan datuk nenek moyang yang bersusah payah membesarkan keluarga masing-masing.

Selepas menziarah kubur, seperti lazimnya kami berziarah ke rumah keluarga besar kami di sekitar Kampung Rancha-Rancha, pakcik makcik dan sepupu-sepupu kami yang semakin membesar jumlah anak-anak buah yang kami temui. Hari raya adalah kesempatan terbaik dan suasana paling kondusif untuk bertemu keluarga besar walaupun terpaksa bersusah sedikit dengan karenah dan telatah anak-anak kami. Tidak mengapalah, ia menjadi ruang kita mengajar dan mendidik mereka erti persaudaraan, persahabatan dan adab bertamu ke rumah orang.

Seterusnya hari rumah terbuka kami disekalikan dengan jemputan ahli-ahli grup facebook ‘We Love Labuan’ (WeLL) yang diasaskan oleh abang sulung kami pada hari raya ke-3. Di sini saya bertemu dengan seorang kawan sekelas pada zaman tadika pada tahun 1984. Selepas 28 tahun berlalu barulah saya menemuinya kembali di rumah kami sendiri. Pada malam itu – selasa malam rabu kami dijadualkan pulang ke Kota Kinabalu melalui feri Labuan-Menumbok namun terlewat beberapa jam. Cerita ini juga akan saya catatkan secara berasingan nanti.

Demikian sebahagian catatan kecil sambutan hari raya kami yang serba ringkas kali ini di WP Labuan.

Kullu ‘am wa antum bi khair. Allahu akbar wa lillahi l hamd.

Generasi kami.

%d bloggers like this: