Lokasi : Masjid Pulau Serai, Pekan, Pahang.

Bagi menjamin kerukunan amalan ziarah dan bertetamu ini dalam keadaan harmoni dan aman damai, maka berdasarkan ayat al-Quran dan amalan Rasulullah SAW beberapa peraturan dan adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam antaranya ialah pertama : Sebagai tetamu mestilah berniat baik di atas kunjungannya. Kedua : Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin ketika membuat jemputan. Ketiga : Hendaklah jangan ditolak sesuatu undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan dan hendaklah berbuka kerana untuk menimbulkan kegembiraan dipihak yang membuat undangan. Keempat : Hendaklah menolak undangan di mana makanan yang dihidangkan itu terdapat syubhat dan terdapat aktiviti munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim atau suka membesar diri. Hadith Rasulullah SAW :

Maksudnya:“Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa. ” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Kelima: Semasa berkunjung hendaklah memilih waktu yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga. Keenam: Perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi. Ketujuh: Selaku tetamu adalah sangat digalakkan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sebagaimana dengan hadith Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud :

Tidak ada dua orang muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum   berpisah.

Walaubagaimanapun amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Kelapan : Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah. Kesembilan: Menjaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah mengangkat suara semasa berada di dalam rumah dan jangan mengambil masa yang lama ketika berziarah.

Manakala bagi pihak tuan rumah, agama Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati oleh tuan rumah antaranya dengan menghormati dan memuliakan tetamunya. Dalam masa yang sama, tuan rumah juga disarankan agar menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Janganlah ada maksud untuk berbangga-bangga tetapi tujuannya adalah untuk merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu.

Satu lagi adab penting yang ada kaitan dengan  ziarah dan bertetamu ini ialah menjaga adab makan-minum. Adab-adab makan yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah pertama: Memulakan makan dengan membaca Bismillah.  Kedua: Mengakhiri makan dengan bacaan Alhamdulillah. Ketiga: Makan dengan menggunakan tiga jari kanan keempat: Menjilat jari jemari sebelum mencuci tangan kelima: Tidak meniup makanan yang masih panas, keenam: Menghindari diri dari kenyang yang melampau batas.  Ketujuh: Memulakan makan dengan mengambil makanan yang dekat dengan kita. Kelapan: Sewaktu makan, janganlah berdiam diri sahaja, tetapi bolehlah bercakap perkara yang baik-baik.