Ketika akhir Ramadhan tempohari, saya dan kawan-kawan sempat berziarah ke Pondok Fii Zilalil Quran di Kampung Tamau Kota Belud yang seluas 5 ekar. Pondok ini bermula sekitar tahun 2000 setelah berpindah dari lokasi pertama di Kampung Rosok juga di Kota Belud ini. Ia bermula dengan surau dan kemudian semakin membesar dengan rumah guru, beberapa pondok atau asrama kayu dan simen, dapur, maktabah dan sebagainya.

Buat masa ini terdapat 18 orang pelajar remaja yang menuntut di pondok ini dengan beberapa orang guru tetap dan sambilan yang membantu secara sukarela demi kemajuan ilmu dan tarbiyyah untuk para penuntutnya. Sesuatu yang sangat menggembirakan ialah kebanyakan dana disumbangkan oleh umat Islam serata tempat dari seluruh negara.

Menurut Cikgu Saifuddin Ahmad yang menjadi pengurus pondok ini, mereka kini sedang mengusahakan sebuah tanah lapang untuk mendirikan beberapa lagi blok bangunan (foto disertakan di bawah). Namun demikian pihak pengurusan tetap memerlukan bantuan umat Islam bagi memberikan sumbangan kewangan. Begitu juga sebuah lorong yang perlu diturap bagi kemudahan pelajar dan pelawat kesemuanya memerlukan dana.

Mereka yang berminat untuk menyumbang atau menginfaqkan sebahagian harta mereka dipersilakan untuk menyalurkan sumbangan kewangan ke dalam akaun Bank Islam : 100 160 202 129 36. Selamat menyumbang!