Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Muzakkirullah Kg Lubuk Temiang WP Labuan.

Konsep Hari Raya dalam Islam jelas menunjukkan ia adalah perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut di atas landasan agama, maka hari raya yang disambut akan menjadi ibadah. Oleh itu marilah raikan Aidilfitri ini dengan cara ibadah kerana sebagai muslim kita harus punya jati diri. Muslim menyambut Aidilfitri berbeza dengan cara Yahudi dan Nasrani meraikan perayaan mereka. Janganlah sambutan Aidilfitri dipenuhi dengan hiburan yang melalaikan dan memenuhi nafsu semata-mata. Isikanlah kemeriahan Aidilfitri dengan cara kita. Cara Islam, cara yang diredhai oleh Allah.

Hari Raya yang kita sambut pada hari ini adalah sangat bermakna kerana kita  merupakan graduan sejati hasil tarbiah Madrasah Ramadhan. Bahkan kalau kita  lalui Ramadhan lalu dengan penuh keimanan dan pengharapan maka Allah akan ampunkan segala dosa kita. Kita sewajarnya kembali semula kepada fitrah yang suci bersih dari dosa. Sebab itulah hari raya ini dipanggil Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah. Ia juga merupakan manifestasi kemenangan dan kejayaan umat Islam yang telah berjaya mengikuti proses pentarbiyahan di sepanjang bulan Ramadhan.

Maka berbahagialah mereka yang melangkah keluar dari madrasah Ramadhan  dalam keadaan fitrah yang suci bersih seumpama bayi yang baru dilahirkan lantaran mereka memperolehi keampunan daripada Allah SWT. Di saat kita meraikan hari raya dengan penuh kegembiraan ini, kita haruslah berhati-hati dan berwaspada. Janganlah hari yang sepatutnya membawa seribu kebaikan kepada kita bertukar sebaliknya. Kehadiran Syawal kadangkala menyebabkan ramai antara kita yang terleka.

Ibadah dan Mujahadah yang dibina sebulan lamanya menjadi longgar. Iman yang sudah disuburkan menjadi malap akhirnya. Bagaimana mungkin kita ingin mencapai tahap takwa yang sebenar sekiranya pada 1 Syawal pun kita telah tersungkur dengan nafsu yang sentiasa meruntun kepada dosa. Di antara kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh kebanyakan orang Islam ketika meraikan aidilfitri yang boleh merosakkan hasil ibadah ramadhan mereka adalah seperti berikut :

1. Bermegah-megah dalam membuat persediaan hari raya. Persiapan melampau dengan membeli pakaian, menukar langsir dan perabut yang mahal serta membuat dekorasi rumah dan juadah makanan yang keterlaluan menyebabkan berlaku pembaziran hanya semata-mata untuk menunjukkan “kemewahan” mereka berbelanja.

2. Mengenakan perhiasan diri yang berlebihan atau tabarruj, seperti mengenakan pakaian yang mewah dan hiasan yang berlebihan atau berwangi-wangian yang melampau terutama bagi kaum wanita.

3. Menghabiskan masa hanya menonton rancangan televisyen dan memerap di rumah sehingga melupakan keutamaan menziarahi sanak saudara dan jiran  tetangga. Malah ada juga yang terlalu berkira dalam hal ini. Oleh kerana tidak  diziarahi, maka mereka mengambil sikap yang sama untuk tidak menziarahi.  Syawal sepatutnya menjadi bulan pengerat silaturrahim. Mungkin pada waktu lain kita tiada kesempatan kerana kesibukan tugas, sedangkan inilah kesempatan terbaik yang dapat menjalin semula keakraban dengan saudaramara, jiran-tetangga, sahabat-handai dan rakan taulan. Justeru, didiklah diri dan ahli keluarga agar menghidupkan kembali amalan ini kerana ianya boleh memberikan kesan yang baik kepada hubungan persaudaraan sesama kita.

4. Cukup bersemangat menunaikan solat sunat Hari Raya Aidil Fitri tetapi pada masa yang sama solat fardu diabaikan lantaran sibuk berhari raya. Di sebalik kegembiraan menyambut hari raya, perlu diingat jangan sesekali mengabaikan kewajipan mendirikan solat fardu. Ingatlah, dalam asyik bergembira, amalan dan tanggungjawab kepada agama harus dititikberatkan.

5. Makan berlebih-lebihan seolah-olah “membalas dendam” setelah berpuasa selama sebulan. Dalam kata lain melayan semula nafsu setelah ditundukkan selama sebulan. Perlu diingatkan bahawa meraikan Aidilfitri bukan sekadar menjamu selera dengan pelbagai juadah yang terhidang malah yang lebih penting mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

6. Terlalu asyik berhari raya selama sebulan sehingga terlupa akan keutamaan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal yang fadhilatnya seolah-olah kita berpuasa selama setahun. Betapa besarnya ganjaran pahala yang Allah SWT anugerahkan kepada kita. Maka seharusnya kita merebut peluang ini dan bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan tuntutan tersebut.