
Kami tiba di Surau Kg Daranan menjelang asar setelah perjalanan termasuk rehat di Masjid Pekan Kudat kesemuanya mengambil tempoh 8 jam. Memang meletihkan tetapi program tetap diteruskan dengan persiapan untuk majlis ringkas penyampaian sumbangan sebelum maghrib. Kami dimaklumkan terdapat sekitar 700 penduduk beragama Islam di kampung ini namun menjangkakan sekitar 70-100 orang hadir sudah memadai.
Ketibaan kami disambut oleh seorang petugas Yayasan Amal Malaysia di pulau ini bersama seorang lagi sahabatnya. Mereka membuat persiapan dengan jemputan kepada penduduk kampung sebagaimana yang sudah dirancang lebih awal. Di sebelah surau baru ini ada sebuah surau lama yang dijadikan tempat jamuan makan dan dapur mereka. Beberapa kaum ibu dibantu oleh anak-anak remaja membantu membuat persiapan berbuka.
Sementara kami juga melakukan sedikit persiapan membahagi-bahagikan barang yang bakal disumbangkan kepada 200 bungkusan berisi kurma, ubat-ubatan dan sedikit wang raya. Ada lapan kotak berisi pakaian juga dikirimkan oleh sahabat di Kota Kinabalu untuk disampaikan kepada penduduk kampung yang memerlukan. Penyampaian ringkas dilakukan beberapa minit sebelum berbuka dan ketika itu kehadiran antara 70-100 orang penduduk kampung termasuk kanak-kanak, ketika generator baru dipasang dan dihidupkan kerana ketiadaan kemudahan elektrik.
Ketika berbuka, kami sungguh tidak menyangka menu yang kami anggap istimewa disediakan oleh penduduk kampung. Dalam cahaya lampu yang agak suram, mereka menyantuni kami pula dengan hidangan ketam, ikan putih, ubi pelbagai jenis dan nasi yang dibungkus dengan daunan sangat menyelerakan. Allah, sungguh mereka kaya jiwa dan budi bahasa terhadap tetamu jauh mereka dengan makanan yang kami kira lebih mewah berbanding di rumah kami sendiri walaupun kehidupan mereka ramai yang susah dan sederhana.
Kami solat maghrib berjamaah dan saya menyampaikan sedikit tazkirah sebelum isyak dan tarawih. Selepas selesai kesemuanya kami berangkat kembali ke Pekan Karakit untuk bermalam di Masjid Daerah Kecil Pulau Banggi. Kunjungan ke kampung ini akan saya kenang sebagai pengalaman manis bersama umat Islam di sebuah pulau di hujung negeri Sabah. Insya Allah ada rezeki akan berziarah lagi.















