Pertama kali saya berziarah ke masjid ini ialah 3 tahun lalu mengisi 3 slot bersama saudara kita, tazkirah sebelum azan jumaat dan khutbah jumaat. Saya mengenali masjid ini dari jauh sebagai sebuah masjid daerah yang aktif mengadakan aktiviti pengimarahan, baik kuliah atau ceramah atau sebarang program dakwah bilhal. Bahkan ketika kami berziarah baru-baru ini, beberapa jamaah dan ajk masjid sibuk menyiapkan bubur lambuk untuk diedarkan kepada masyarakat.

Perkarangan masjid ini seluas 8 ekar lebih kurang. Dengan kos RM2.5 juta, pembinaannya bermula pada tahun 1991 dan siap sepenuhnya pada 1993 dan dirasmikan oleh TYT Yang Di Pertua Negeri Sabah ketika itu Tun Sakaran Dandai. Masjid yang boleh memuatkan sekitar 1500 jamaah pada satu-satu masa ini juga dilengkapi dengan kemudahan dewan mesyuarat, bilik kuliah, pejabat, ruang letak kereta untuk 200 kenderaan dan sebagainya.