Archive for 11 Ogos 2012


Ini kali kedua mengisi program untuk bulan Ramadhan di Klinik Kesihatan Putatan, setelah tahun lalu juga mengisi program di sini. Kali ini Dr Rokiah dari Klinik Kesihatan Penampang menghubungi saya dan meminta saya menggantikan satu slot yang sepatutnya diisi oleh seorang ustaz lain yang berhalangan.

Dr Rokiah seorang doktor gigi bersama rakan-rakannya menganjurkan siri-siri tazkirah setiap minggu menggabungkan Klinik Kesihatan Putatan dan Penampang. Saya dengar di luar Ramadhan pun mereka adakan juga ceramah khususnya untuk staf wanita pada waktu kaum lelaki pergi menunaikan solat fardhu jumaat.

Tazkirah berlegar berkenaan tuntutan terhadap al-Quran dengan perkara asas bagi orang awam ialah belajar mengaji atau membacanya pada peringkat awal. Mungkin tahap ini belum lagi sampai untuk mengajak mereka menghafal atau memahami secara mendalam ayat al-Quran. Memadailah mengajak mereka mencintai tilawah al-Quran dengan berusaha mencari guru yang boleh mengajar membaca al-Quran.

Setidak-tidaknya kepada malaikat munkar nangkir kita ada jawaban asas bahawa kita sudah mula untuk mempelajari al-Quran al-Karim. Terima kasih undangan sahabat-sahabat di sana. Baru sehari bertukar nombor telefon dan facebook, sudah ada yang menyatakan hasrat untuk bertaubat di atas kekhilafan dalam hidup mereka sekaligus meminta carikan guru agama yang boleh membimbing ke arah jalan yang lebih baik. Semoga Allah membantu mereka dan kita semua.

Khatib : Ustaz Suhaidi Saad

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa ia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar”. (Surah Al-Qadar, ayat 1-5).

Kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan maksud Lailatul-Qadar itu ialah malam kemuliaan dan kebesaran. Manakala maksud malam Lailatul-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan ialah yakni amal ibadat yang dikerjakan pada malam yang mulia itu lebih besar pahalanya daripada amal ibadat yang dikerjakan pada seribu bulan yang lain.

Berdasarkan mafhum dan penjelasan ayat dan tafsir di atas, bulan Ramadan adalah bulan paling istimewa kerana padanya ada satu malam nilainya lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan itu menyamai lebih kurang selama 83 tahun. Detik masa dan saat yang penuh berkat itu tidak lama, iaitu antara malamnya hingga saat terbit fajar atau waktu subuh. Pada masa dan saat itu nilai setiap amal ibadah dan amal soleh yang kita lakukan sama dengan amalan selama seribu bulan atau 83 tahun.

Beruntunglah orang yang beramal ibadah sama ada dengan berqiyamulail, solat Tarawih, bertadarus Al Quran, berzikir, beristighfar, bertasbih, bertahmid, bertahlil, bersalawat dan sebagainya pada malam itu. Ertinya orang yang mendapat malam Lailatul-Qadar akan mempunyai amal ibadah dan amal solehnya selama 83 tahun. Sedang umur kita belum tentu sampai ke angka 83 itu.Umat Islam dituntut menghayati malam Lailatur-Qadar, Sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Barangsiapa menghayati malam Lailatul-Qadar dengan mengerjakan solat (dan pelbagai jenis ibadat yang lain), sedang dia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Ta’ala, nescaya dia diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. (HR Bukhari).

Menghayati malam Lailatul-Qadar dengan amal ibadah dengan penuh keimanan dan mengharap rahmat Allah SWT, dalam Kitab Mustika Hadith menjelaskan mafhum Hadith berkenaan maksud ‘pelbagai jenis ibadat’ ialah seperti membaca Al Quran, berzikir, istighfar, bertaubat dan berdoa pada malam yang berkat itu. Maksud imanan (beriman) ialah yakni sedang dia percaya dengan yakin tentang benarnya keistimewaan malam Lailatul-Qadar yang mulia itu.

Dalam hal ini hanya Nabi SAW adalah contoh terbaik kepada umat Islam, yakni, bagaimana merebut dan mencari malam Lailatul-Qadar dengan memperbanyakkan amal ibadah pada malam-malam sepuluh yang akhir dari bulan Ramadan ini, sebagaimana Nabi SAW lakukan semasa hayatnya di bulan Ramadan.

 

 

 

%d bloggers like this: