Kami dalam proses akhir mengumpul dan mengedit bahan-bahan untuk dimuatkan ke dalam majalah maahad kami yang belum dimuktamadkan namanya. Saya diamanahkan sebagai ketua editor, satu tugasan yang mencabar bagi memastikan perjalanan pembikinan majalah ini berjaya sehingga ke akhirnya.

Ketika zaman persekolahan dahulu, saya pernah juga terlibat dalam pembikinan majalah sekolah sebagai jurugambar atas bimbingan Ustaz Hamdani Omar. Tugasnya tidaklah seberat mana, hanya perlu merakam foto-foto pelajar setiap kelas dan guru-guru. Selain itu mengumpul foto-foto program sepanjang tahun. Saya tidak terlibat dengan kerja-kerja teknikal yang lain.

Untuk majalah maahad kali pertama ini, saya perlu memastikan perjalanan daripada mula sehingga selesai, memastikan bahan yang dikehendaki ada dimuatkan dalam majalah seperti ucapan, wawancara, karya, foto, aktiviti, sejarah dan sebagainya. Lebih berat daripada itu, kerja-kerja mengedit bahasa dan foto hendaklah berada di hadapan saya supaya saya dapat mengomentari bersama-sama ajk yang lain akan kesesuaian dan ketepatannya menurut kemampuan kami.

Setakat ini kerjasama semua pihak sangat mendukung walaupun kami bergerak dalam serba serbi kelemahan dan kekurangan. Ini pengalaman pertama yang cukup manis semoga ada kebaikannya untuk kami semua yang terlibat demi untuk mewarwarkan kebaikan yang ada di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah. Saya kongsikan sebahagian potret yang kami rakamkan minggu lepas.