Ketika kami bermalam di asrama Kompleks Sukan Tawau pada tengah malam ahad hingga ke paginya, kami disambut oleh seorang pengawal keselamatan yang menjaga lokasi berkenaan sekaligus menjaga kaunter ketika ketibaan kami. Waktu itu masa sudah menunjukkan lebih jam 1 pagi.

Waktu sahur tiba, kami dibangunkan dan seorang sahabat di Tawau membawa bekalan untuk kami makan sahur berjamaah. Saya kemudiannya bergegas ke sebuah masjid untuk menyampaikan kuliah subuh atas inisiatif ‘Abang Dai’. Alhamdulillah, dalam letih itu sebenarnya saya penuhi hasrat mereka dan saya isi dengan topik berkenaan keutamaan tilawah al-Quran.

Menariknya sebelum kami bergerak untuk ke masjid, saya melihat abang pengawal keselamatan itu mengisi masanya asyik membaca al-Quran bersama-sama dengan tadarrus al-Quran yang disiarkan di televisyen. Allahu rabbi, amat jarang saya sebenarnya mengikuti siri-siri tadarrus al-Quran lewat televisyen. Namun rupanya rancangan sebegitu ada peminatnya sendiri. Abang sekuriti itu tenang dan khusyuk membaca bersama-sama dengan para peserta tadarrus di tv berkenaan.

Jelas abang sekuriti tau menghargai masa dengan tilawah al-Quran walaupun sekadar mengikut bacaan di televisyen. Mudah-mudahan beliau istiqamah dengan tilawah al-Qurannya, bermula dengan tv kemudian mencari guru untuk bertalaqqi pula.