Antara tujuan ziarah kami ke Semporna ialah menyempurnakan satu sesi pengubatan Islam di PASTI Nur al-Islah. Kami tiba beberapa minit sebelum jam 10 pagi, dan kami dimaklumkan penduduk kampung sudah berada di lokasi bermula jam 8 pagi. Kasihan mereka, mereka tiba sedang kami masih berada di perut pesawat. Kemudian perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau menuju ke daerah ini juga mengambil masa lebih sejam.

Majlis berkenaan kami mulakan dengan ceramah ringkas sekitar 30 minit yang saya sampaikan berkenaan perkara khurafat dan kaedah rawatan yang akan dijalankan selepas itu. Tuan Haji Ahmad Kambar, Cikgu Zaidi dan saya kemudian mengambil tempat melakukan rawatan sehingga zuhur dan keseluruhannya dapat melakukan khidmat ini kepada lebih 50 orang peserta yang rencam asbab penyakitnya.

Antara yang akan saya kenang ialah seorang perempuan berumur 27 tahun tetapi bisu sejak kecil. Selain ujian bisu itu, kakinya sering bergetar pada masa-masa tertentu setiap hari yang menyebabkannya tidak dapat berjalan betul. Juga seorang suami yang mengalirkan air mata melihat isterinya sakit dibawa ke hadapan saya, tiada yang saya ucapkan kepada sang suami melainkan agar berdoa dan bersabar. Seorang ibu yang berumur lebih 90 tahun juga datang membawa harapan, dan kami menyatakan agar pergantungan kita kepada Allah SWT.

Di daerah ini juga kami dapat bertemu dengan sepasang suami isteri yang merupakan lepasan Darussyifa Melaka, syukur sang ustazah dapat membantu kami melaksanakan ibadah rawatan ini. Letih memang letih tapi kami bersyukur dapat membantu masyarakat di daerah ini. Insya Allah jika ada kelapangan akan berziarah lagi.