Antara nasihat-nasihat Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din di dalam tazkirah beliau ialah :

1) Ramadhan adalah anugerah Allah SWT kepada hambaNya yang beriman. Rasulullah SAW sendiri berdoa dan mengharapkan untuk bertemu Ramadhan sejak daripada bulan Rajab lagi. Maka apabila bertemu dengannya, maka umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh beribadah kerana Ramadhan yang telah berlalu tidak akan sama dengan Ramadhan yang bakal menjelang daripada tahun demi tahun. Penantian daripada Ramadhan ke Ramadhan adalah mukaffirat (penghapusan dosa).

2) Allah SWT akan sentiasa memberikan rahmat dan kasih sayangNya bagi sesiapa yang menyempurnakan segala perintahNya bermula dengan ibadah sahur sehinggalah menahan diri daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. HambaNya sanggup menahan keinginan dirinya daripada makan dan minum walaupun ia mempunyai makanan dan minuman. Ia menahan diri keranaNya dan makan minum juga keranaNya.

3) al-Quran adalah hidangan Allah SWT. Maka hendaklah kita berusaha mengkhatamkan al-Quran paling sedikit sekali dalam sebulan Ramadhan. Yang sederhana ialah seminggu sekali, atau 10 hari sekali. Jika ada di kalangan mereka mampu lebih daripada itu, misalnya setiap hari maka silakan kerana mengingatkan al-Quran itu adalah hidangan daripada Allah SWT. Pahala dan ganjaran daripada Allah SWT teramatlah besar untuk orang yang membaca al-Quran.