Beberapa hari sebelum Ramadhan menjelang, Surau Riyadhus Solihin Taman Austral cuba menarik mood pengimarah surau ini dengan melakukan beberapa tindakan. Antaranya menggantung bunting ‘cowndown’ Ramadhan. Saya kira ini satu pembaharuan yang baik untuk mengingatkan umat Islam akan ketibaan Ramadhan. Di Kota Kinabalu, bunting seumpama ini dimulakan di Masjid Bandaraya yang menggantung bunting seumpama ini sejak awal Ramadhan lagi.

Mood Ramadhan berterusan dengan kerja-kerja mengecat surau Taman Austral di luar dan dalam. Kelabu di luar dan hijau di dalam, demikian warna yang dipilih kali ini. Selain itu di ruang dalam, langsir-langsir baru mengganti yang lama, membawa mood yang berlainan kepada ahli jamaahnya. Dua hari sebelum Ramadhan, sebahagian dinding belakang sebelah kiri surau dipecahkan untuk dibuatkan pintu baru bagi memudahkan jamaah muslimat masuk memenuhi ruang untuk mereka solat berjamaah.

Seperti biasa juga, sepanjang Ramadhan surau ini akan menyediakan hidangan berbuka puasa setiap hari dengan kuota sekitar 100-120 orang. Justeru umat Islam yang berhasrat menyumbang untuk majlis berbuka puasa boleh berhubung terus kepada Ustaz Mohamad Suaid, timbalan pengerusi surau. Saya juga dimaklumkan surau ini terus menjadi lokasi penyimpanan sementara beras-beras yang akan diagihkan kepada sasaran di seluruh negeri. Ia bakal dikendalikan oleh Yayasan Amal Malaysia dan Persatuan Ulama Malaysia di Sabah.

Sesi solat isyak dan tarawih akan diselangi dengan tazkirah yang dijadualkan disampaikan oleh para ustaz yang dipilih dan diatur oleh AJK Surau. Semoga Ramadhan kali ini akan terus makmur dan kita mendapat jamaah yang baru dan istiqamah walaupun sesudah Ramadhan nanti. Saya kira yang akan ternanti-nanti perkembangan surau ini ialah para ‘alumni’nya seperti Tuan Haji Omar Tompang sekeluarga, Ustaz Zulkifli Mustafa, Ustaz Zulhazmi Osman, Abang Shafie Din dan ramai lagi yang pernah menjadi pengimarah surau ini.