Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah Petagas

Firman Allah bermaksud : Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang sebelum kamu supaya kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah : 183)

Allah SWT memberi peluang dan rezeki kepada umat Islam untuk menikmati sekali lagi penghulu segala bulan, iaitu Ramadhan. Ramadhan yang bakal ditempuhi mestilah dilalui dengan penuh kesungguhan dan ilmu yang mendalam agar kita mengetahui tentang ibadah dan keutamaan-keutamaannya yang ada di dalam bulan Ramadhan.

Umat Islam mesti berlumba-lumba untuk menunaikan semua ibadah wajib dan bersungguh-sungguh mengerjakan yang sunat semata-mata mencari keridhaan Allah SWT. Dengan ilmu umat Islam menunaikan ibadah solat fardhu dan solat sunat, bukannya meninggalkan solat fardhu tetapi mengejar solat sunat tarawih. Dengan ilmu umat Islam bersungguh-sungguh menjaga diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa dan perkara yang membatalkan PAHALA puasa.

Ramadhan yang tiba, bukan sekadar puasa wajib sahaja lalu umat Islam meninggalkan ibadah lain yang tetap dituntut seperti solat fardhu dan sunat, zakat dan sedekah, tilawah al-Quran dan kata-kata yang baik dan seumpamanya. Anggaplah ini kesempatan Ramadhan terakhir, semoga kita bersungguh-sungguh melaluinya dan akhirnya berjaya mendapat ijazah yang bernama taqwa kepada Allah SWT.