Archive for 21 Julai 2012


Sumber : http://www.islamgrid.gov.my/mosque/detailed.php?id=12

Masjid yang dinamakan An-Nur ini terletak di tapak seluas 4.5 ekar di pusat bandar Labuan dan ia sangat mudah dikunjungi oleh sesiapa sahaja. Pada peringkat awalnya pembinaan masjid ini dikendalikan oleh kerajaan Negeri Sabah melalui Majlis Agama Islam Sabah (MUIS). Masjid ini didirikan bagi mengganti masjid lama Labuan yang tidak lagi dapat menampung bilangan jemaah yang semakin meningkat.

Kerja-kerja projek pembinaan telah dimulakan pada 9 Jun 1980 Masihi tetapi atas beberapa sebab teknikal, projek ini telah ditangguhkan. Namun pada 16 April 1984 Masihi setelah Pulau Labuan dijadikan Wilayah Persekutuan yang kedua selepas Kuala Lumpur, projek ini diambil alih dan dilaksanakan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Tawaran melaksanakan projek ini telah dibuat semula dan akhirnya pembinaan masjid ini siap pada 15 Mei 1987 Masihi.

Masjid ini telah dirasmikan pada 13 Jamadilakhir 1408 Hijri bersamaan 1 Februari 1988 Masihi oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Alaudin Shah ketika Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Konsep Reka Bentuk

Masjid ini berkonsepkan gabungan elemen seni bina Melayu Brunei dan Turki. Hasil daripada kedua-dua pengaruh ini berjaya melahirkan masjid yang mempunyai identiti baru yang unik dan indah. Masjid ini dilengkapi dengan sebuah kubah berbentuk dom dan dua buah menara tinggi di kiri dan kanan masjid. Oleh kerana masjid ini berlatarkan Laut China Selatan, kedua menara ini turut menjadi panduan utama kepada para nelayan terutama pada waktu malam. Reka bentuk dan hiasan dalaman masjid ini berkonsepkan kontemporari.

Jeriji dan cermin telus menjadi elemen pencahayaan dan pengudaraan semula jadi ke dalam masjid. Anak tangga sebagai penghubung aras bawah dan tingkat atas dihiasi dengan lampu bulat tergantung di bahagian atas bagi memberi cahaya dan mengindahkan lagi bahagian ini. Masjid An-Nur turut dilengkapi beberapa kemudahan dan kelengkapan untuk kegunaan orang ramai seperti tiga buah dewan kuliah, Perpustakaan Darul Hikmah, pejabat pentadbiran dan sebuah bilik rehat untuk orang-orang kenamaan.

 

 

 

 

 

 

Saya sangat berbesar hati apabila sahabat saya Ustaz Abdu Khalil Hassan mengundang saya sebagai salah seorang panel dalam kursus pemantapan imam dan bilal peringkat WP Labuan yang diadakan di Dewan Syura Masjid Jamek an-Nur pada selasa lepas. Sebenarnya ini adalah pertama kali saya diundang oleh Jabatan Agama Islam WP Labuan (JAWI) untuk mengisi program mereka.

Saya berada di Labuan sejak sabtu, menyambung keberadaan saya selepas Seminar al-Quran Rasm Uthmani Peringkat WP Labuan yang diadakan di UMS Labuan anjuran bersama KDN, Pejabat Mufti Labuan & JAWI. Sementara kursus pemantapan imam dan bilal ini mengumpul sebahagian imam dan bilal di WP Labuan – sekitar 50 orang sahaja – kerana sebahagian lagi bertugas di masjid dan surau masing-masing.

Alhamdulillah saya bersama sahabat saya Ustaz Bahtiar Hud mengisi slot masing-masing sejak pagi hingga menjelang asar, sebelum acara penutupan ringkas oleh Ketua Penolong Pengarah JAWI Labuan. Ustaz Bahtiar menumpukan tentang topik memperkasa dan menambah kualiti imam dan bilal dalam dua slot, sementara saya dalam satu slot membahaskan tentang kemahiran ‘seni khutbah’, bacaan dalam solat dan wirid.

Memandangkan ketika itu bulan Ramadhan semakin hampir, saya mengambil kesempatan untuk menguji beberapa bilal dan imam untuk melaungkan solawat dan wirid antara solat tarawih dan doa-doanya. Memang keterbatasan masa menghalang perbincangan lebih lanjut, saya berharap dapat berpeluang pada masa hadapan untuk membantu imam dan bilal memperbaiki kualiti ibadah solat dan khutbah.

%d bloggers like this: