Akhirnya dapat juga berziarah ke Pusat Rawatan Darussyifa’ WP Labuan yang beroperasi di sebuah premis blok kedai di Taman Mutiara, Kg Sungai Bedaun. Premis yang berada di tingkat 1 ini, dibuka untuk sesi rawatan pada setiap isnin dan khamis antara 8.30 hingga 11 malam. Pusat rawatan di sini bermula sejak bulan April 2012 dan sebelum itu operasi rawatan diadakan Kg Layang-Layangan. Ada tiga bilik rawatan dan satu lagi ruang menunggu yang agak luas.

Malam saya berziarah itu ada sekitar belasan tetamu untuk mendapatkan rawatan daripada perawat-perawat Darussyifa’ Labuan terutama Ustaz Hilmi Jaafar dan rakan-rakan. Untuk rekod, pengambilan kumpulan pertama Darussyifa’ Labuan bermula pada mei 2011 dan menamatkan pengajian pada awal tahun ini. Sebahagian daripada 40 orang yang menjadi kumpulan pertama ini adalah orang-orang tempatan yang memang berasal dari pulau ini.

Sungguhpun usia penubuhannya yang masih terlalu muda, Darussyifa’ Labuan telah menabur dakwah kepada masyarakat dengan rawatan pengubatan Islam. Selain itu mereka turut diundang ke luar dari premis untuk merawat bangunan antaranya di Petronas Methanol Labuan (PML), SK Bukit Kalam dan lain-lain. Mudah-mudahan usaha ini ada kebaikannnya di sisi Allah SWT demi menegakkan kalimah Allah khususnya di WP Labuan melalui pengubatan Islam, serta mengislah masyarakat dengan aqidah, syariat dan akhlak.

Perkembangan Darussyifa’ WP Labuan boleh dibaca di blog berikut : http://darussyifawpl.blogspot.com/ atau berhubung langsung dengan Ustaz Mohammad Hilmi Jaafar – 013-5304660