Archive for 19 Julai 2012


Saya mengetahui sedikit bahawa usaha-usaha bagi mewujudkan sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di WP Labuan sudah bermula sejak 3-4 tahun lepas. Bermacam rintangan dihadapi oleh sahabat-sahabat di Labuan untuk menjayakan penubuhan PASTI ini. Alhamdulillah akhirnya sebuah premis PASTI buat julung kalinya diwujudkan juga di Taman Perumahan Mutiara sejak awal tahun 2012 ini.

Sebuah rumah apartment disewa oleh pengurusan PASTI dengan kadar RM900, dan buat tahun pertama ini murid yang sedang belajar di sini ialah seramai 24 orang. Ia satu kejayaan yang memberansangkan kerana jika menurut pengalaman kami di Kota Kinabalu untuk 2-3 tahun pertama, hanya beberapa murid sahaja yang berdaftar dan biasanya kutipan kewangan memang defisit.

Di PASTI ar-Raudhah ini, yuran sebanyak RM70 dikenakan untuk setiap murid dan silibus pengajian mengikut sukatan yang ditetapkan oleh Jabatan PASTI di peringkat nasional. Alhamdulillah, saya meluangkan sedikit masa untuk berziarah ke PASTI ini dan kami bertukar fikiran dan maklumat, memberikan beberapa pendapat berkenaan beberapa perkara untuk kebaikan dan kemajuan PASTI ini.

Walaupun ada serba sedikit sebanyak kelemahan, PASTI tetap di hati keluarga kami kerana di Kota Kinabalu, 2 orang anak adalah alumni PASTI al-Fathonah di Putatan, 2 orang lagi sedang menuntut di PASTI yang sama dan insya Allah akan ada 2 orang lagi akan menyusul. Semoga PASTI ar-Raudhah akan terus maju dan PASTI di WP Labuan akan bertambah sedikit masa lagi dan menjadi pilihan pra sekolah masyarakat di sini.

Melihat nama surau ini saja, saya dapat mengagak bahawa ia mula beroperasi pada bulan Ramadhan. Telahan saya benar apabila Ustaz Ahmad Junid mengkisahkan tentang permulaan surau ini. Istilah ar-Rayyan merujuk kepada nama pintu syurga bagi orang yang berpuasa dengan ikhlas dan benar. Ia disebut dalam hadith Rasulullah SAW.

Malam saya berkunjung ke sini bertepatan dengan kuliah maghrib bimbingan beliau. Saya dimintanya secara spontan, tanpa memaklumkan kepada jamaah yang sebenarnya menanti kuliahnya agar menggantinya pada malam berkenaan dengan sedikit pengisian berkenaan puasa. Nampaknya peminat kuliah beliau sekitar 70-100 orang termasuk kaum ibu dan kanak-kanak.

Saya dimaklumkan juga akan keaktifan surau ini dengan program-program pengimarahan surau sama ada di dalam atau di luar Ramadhan. Jamaah utama surau ini sudah tentulah penduduk taman ini walaupun di hujung jalan ada satu lagi surau yang juga aktif dengan aktiviti masing-masing. Tahniah kepada kesungguhan mereka semua.

%d bloggers like this: