Archive for 14 Julai 2012


ANGELES CITY

Saya tidak menyangka akan dapat singgah lagi ke wilayah ini. Kunjungan pertama kali pada akhir tahun 2009 yang menggamit kenangan bersama Allahyarham Ustaz Haji Nahar Matamin, ketika itu kami bermalam di Masjid at-Taqwa dengan rombongan yang lebih ramai ketika itu. Tiba di sini buat kali kedua, saya benar-benar teringat kenangan itu.

Angeles City menjadi perhentian terakhir sebelum kembali pulang ke tanahair kerana penerbangan Airasia ke Kota Kinabalu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Diosdado Macapagal, Clark hanya sekitar 10-15 minit dari bandar Angeles. Lapangan Terbang ini pula juga dianggap lapangan terbang tentera dan pengguna akan berselisih dan melalui kawasan tentera.

Destinasi pertama kami di Angeles City ialah Masjid at-Taqwa yang untuk bertemu dengan saudara-saudara seaqidah di sini. Saya dapat mengecam beberapa wajah mereka yang pernah kami temui satu ketika dahulu. Saya terkenang Allahyarham Ustaz Haji Nahar yang pernah memberi tazkirah di masjid ini. Ertinya ada juga peninggalan saham beliau untuk saudara-saudara di Angeles City dengan nasihat yang baik.

Di sebelah masjid ini pula ada sebidang tanah milik orang kristian yang hendak dijual dengan harga RM260 ribu dan pihak masjid sudah beberapa tahun mengikhtiarkan kewangan untuk membelinya bagi pembinaan bangunan demi kelangsungan aktiviti dakwah dan pendidikan umat Islam. Ketika kunjungan lebih 2 tahun lalu, mereka sudah pernah menyuarakan hasrat itu dan saya juga pernah mencatatkannya di dalam blog ini.

Kami turut berziarah di sebuah rumah seorang ustaz tidak jauh dari masjid ini. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama dan kini menyebarluaskan peranan dakwahnya dengan berniaga makanan-makanan dan katering halal kepada masyarakat sekitar. Bahkan seorang anak perempuannya bekerja di sebuah restoran halal yang menyediakan masakan Malaysia seperti nasi lemak dan lain-lain.

Kawasan yang pihak masjid berhajat membelinya dengan nilai RM260 ribu

Quiapo dikenali sebagai salah satu kawasan penempatan majoriti muslim di Kotaraya Manila. Kunjungan kali kedua ke sini, saya tidak menjangka sudah banyak perubahan berlaku dalam tempoh 2-3 tahun. Di Quaipo, untuk urusan makan minum yang halal sangat mudah kerana restoran muslim sangat banyak. Bahkan menunya tidak banyak berbeza dengan Malaysia.

Hanya mungkin banyak menunya berasaskan santan dan kami hampir tidak berjumpa makanan berasaskan kari. Ada sebuah restoran yang kami kunjungi yang bersebelahan dengan tempat penginapan menyediakan makanan Malaysia. Sedap juga rasanya roti canai @ roti kosong di sini. Begitu juga teh tarik dan sebagainya. Mungkin sudah ramai rakyat Malaysia yang berkunjung ke sini sehingga peniaga mengambil pendekatan menyediakan menu Malaysia.

Masjid Emas atau Golden Mosque berdekatan dengan penginapan. Sekitar lima minit berjalan kaki. Ustaz Ali Baulu, salah seorang imam di sini menjelaskan kehadiran jumaat sekitar 2000 ke 2500 jamaah memenuhi ruang masjid manakala solat waktu sekitar 600 orang. Ada kira-kira 30 buah masjid di sekitar Manila berbanding jumlah sekitar 1 juta orang Islam di kotaraya ini.

Ustaz Ali Baulu yang pernah belajar di Kuliah Dakwah Universiti al-Azhar, Kaherah antara tahun 1986-1990 terkejut apabila saya menjawab soalannya tentang elaun atau gaji imam rawatib di Malaysia sekitar RM700 hingga ke RM1000 (atau lebih) sedangkan mereka di sini katanya bertugas secara percuma. Oleh yang demikian para imam terpaksa lebih kreatif untuk mencari sara hidup untuk diri dan keluarga.

Ketika datang lebih 2 tahun lepas, saya ada mencatatkan Quaipo sebagai kota DVD kerana kedai dan premis menjual VCD dan DVD yang sangat berleluasa dan begitu terbuka. Sesetengah blok kedai yang kami tinjau ketika itu, jika ada 10 unit atau 10 pintu lot kedai, tidak kurang 8 atau 9 adalah kedai DVD/VCD. Ketika kunjungan kali ini, jumlahnya sangat berkurang. Bukan langsung tiada tetapi merudum kepada 2-3 kedai sahaja.

Saya sempat meronda sebelah malam di sini, satu dua blok kawasan yang pernah saya temui dahulu menempatkan puluhan kedai DVD/VCD itu kini hanya tinggal tidak sampai 10 premis, itupun tidak lagi terbuka. Ia sudah berganti dengan kedai-kedai makan, hotel penginapan, kedai pakaian, butik dan sebagainya. Mungkin saja di kalangan pendakwah dan ulama’ mereka ada menegur para penjual di sini, ataupun boleh jadi bisnis seumpama ini mulai kerugian atau kurang untung kerana banyak filem-filem barat sudah boleh dilayari lewat alam maya.

Kami menjangkakan mungkin tempoh 10 tahun akan datang, kawasan ini akan semakin baik daripada segi fizikal dan dalamannya. Infrastruktur, kemudahan, kebersihan dan nilai kualiti dan kuantiti bagi solat berjamaah, persaudaraan dan kesatuan mereka akan lebih baik, supaya umat Islam yang minoriti ini boleh menjadi contoh kepada masyarakat mereka yang majoritinya adalah penganut agama kristian. Insya Allah.

%d bloggers like this: