Sumber : di sini

KAHERAH: Rombongan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut diraikan dalam satu pertemuan bersama pimpinan Ikhwan Muslimin di ibu pejabat baru pergerakan itu di Jabal Muqattam di sini.

Rombongan yang juga turut disertai wakil kerajaan Negeri Kelantan itu turut dibawa bertemu dengan seluruh Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Ikhwan Muslimin (Maktab Irsyad) yang mengadakan mesyuarat mingguan mereka semalam. Antara pimpinan tertinggi Ikhwan yang ditemui termasuklah mantan Mursyidul Am Dr Mehdi Akif, Mursyidul Am Dr. Muhammad Badi’e, Dr. Mohd Ezzat serta Dr. Khairat Shater, bekas calon Presiden Ikhwan yang dibatalkan pencalonannya.

Di kesempatan itu, presiden sekali lagi menyampaikan ucapan tahniah daripada PAS di atas kejayaan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dalam pilihan raya lalu dan kemenangan Dr Mohamad Mursi sebagai presiden negara itu. Tuan Guru Abdul Hadi kemudian turut diberi penghormatan oleh pemimpin ikhwan mengimami solat Zohor di bangunan itu yang dibuka sejurus kejatuhan bekas presiden Hosni Mubarak ketika revolusi rakyat tahun lalu. (Gambar atas). 

Selepas itu, Tuan Guru turut dibawa bertemu dengan Saiful Islam iaitu anak kepada pengasas Ikhwan Muslimin, As-Syahid Imam Hassan al-Banna di kediaman beliau di Dokki di sini. Dalam pertemuan hampir sejam itu, Saiful Islam turut melahirkan harapan agar ‘tsunami’ politik yang berlaku di Mesir turut sampai ke Malaysia khususnya pada pilihan raya umum ke-13 ini. Di akhir pertemuan, beliau menghadiahkan gambar asal Imam Hassan al-Banna kepada Tuan Guru.

Pada sebelah malamnya, presiden memenuhi jemputan bertemu dengan anak Kelantan di Wisma Kelantan di Seksyen 7 di sini. Wisma Kelantan atau nama sebenarnya Wisma Sultan Muhammad V merupakan bangunan baru untuk penempatan anak-anak Kelantan di Mesir yang dibina dengan kos lebih RM17 juta oleh kerajaan negeri. Bangunan itu dijadual dirasmikan oleh Sultan Kelantan dalam masa terdekat.

Hari ini pula, Tuan Guru Abdul Hadi akan ke Tunisia bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Parti An-Nahdah, Rashid Ghanoushi.

Presiden PAS dan rombongan bersama pemimpin Ikhwan Muslimin

Tuan Guru Abdul Hadi menerima cenderahati gambar Asy-Syahid Hassan al-Banna daripada Saiful Islam.

Presiden PAS memenuhi jemputan bertemu dengan anak Kelantan di Wisma Kelantan.