Tempoh keberadaan kami di Cotabato hanya sekitar 24 jam sahaja. Dalam tempoh itu waktu berjalan-jalan yang mesti dimanfaatkan hanyalah pada sebelah siang sahaja, kerana waktu malam agak berbahaya. Makan malam kami hanya di sebelah hotel penginapan dan menjelang jam 8 malam kami sudah berada di bilik masing-masing.

Kenderaan yang kami naiki semaksimanya membawa ke mana yang sempat dan wajar kami ziarahi. Kami sudah berziarah ke madrasah, melintasi masjid-masjid dan surau surau, menyinggah ke masjid besar, ke sekitar bandaraya dan sebagainya. Kawasan bandarayanya setakat yang kami lalui dan berpusing-pusing di situ, langsung tidak kelihatan bangunan tinggi melebihi belasan tingkat seperti yang banyak di negeri dan negara kita.

Semasa melalui kawasan-kawasan perkampungan, kami melihat pemandangan sungai yang indah seperti di Sungai Simuai Sultan Kudarat, melihat pemandangan sawah padi yang menghijau yang penduduknya masih memanfaatkan kerbau sebagai pembajak. Wilayah ini subur dengan pertanian pisang, jagung, padi, kelapa dan sebagainya. Sebab itu kebanyakan masakan mereka berasaskan santan.

Tidak lupa saya muatkan dalam entri kali ini menu-menu dan makanan yang dihidangkan kepada kami. Sungguh dalam kesusahan mereka, kami dihidang dengan makanan yang menyelerakan dan mereka sangat berbesar hati serta memuliakan tetamu mereka yang datang dari Malaysia ini. Kami tidak merasa lapar berada bersama mereka kerana sikap penyantun mereka melayan tetamu apatah lagi saudara seaqidah.