Saya sempat merakam sepintas lalu sepanjang perjalanan yang kami telusuri di Cotabato, masjid-masjid dan surau yang ada di tepi-tepi jalan. Barangkali ada juga yang berstatus surau seperti di tempat kita tetapi sesetengah laluan kami lihat masjid atau surau ini terlalu banyak di kiri dan kanan sehingga saya tidak sempat merakamnya.

Mungkin saja pembinaan masjid atau surau di sini tidak ada sebarang peraturan sehingga bilangannya terlalu banyak sedangkan yang terzahir rumah di sepanjang jalan tertentu tidak juga terlalu banyak. Kami mengejar waktu pulang ke Manila, jadi hanya sekadar lalu, tidak sempat berhenti kecuali di sebuah masjid besar yang akan saya catatkan dalam satu entri khusus nanti.

Kawan-kawan memaklumkan di sesetengah tempat yang lain di wilayah Mindanao yang luas ini, masjid dan suraunya lebih banyak di sepanjang perjalanan berbanding di Cotabato ini.