Sumber : di sini dan di sini

7 Julai 2012 – Kemeriahan Ekspo sempena Konvokesyen Darul Quran sudah tiba dikemuncaknya apabila Istiadat Konvokesyen Darul Quran JAKIM Kali Ke-21 telah berlangsung pada hari sabtu yang lalu. Majlis graduasi tersebut telah disempurnakan oleh Y.B. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam ucapan perasmiannya, Y.B. Dato’ Seri telah menyentuh berkenaan dengan tanggungjawab seorang hafiz al-Quran yang disifatkan sebagai amanah yang cukup tinggi dan cukup berat untuk dipikul oleh mana-mana individu. Beliau juga turut mengumumkan pada tahun ini JAKIM menerusi institusinya Darul Quran akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH). Skim ini akan diberikan kepada para huffaz yang ingin melanjutkan pengajian mereka sama ada di peringkat PHD, Sarjana, Ijazah dan Diploma lanjutan.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir dalam majlis tersebut adalah Y.Bhg. Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg. Tuan Haji Razali bin Shahabudin, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan JAKIM, Y.Bhg. Tuan Haji Muhamad Nordin bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Dasar JAKIM, Y.Bhg. En. Mohd Noor bin Abd Hamid, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan JAKIM, Y.Bhg. Tuan Haji Paimuzi bin Yahya, Pengarah Darul Quran JAKIM, Ahli Lembaga Darul Quran JAKIM, para hakim dan peserta Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-54, Pengarah-Pengarah Bahagian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Ketua-Ketua Agensi Kerajaan Daerah Hulu Selangor.

Majlis penuh gilang-gemilang tersebut menyaksikan seramai 494 graduan menerima Ijazah, Diploma dan Sijil dalam Istiadat Konvokesyen pada kali ini. Daripada jumlah tersebut 32 orang pelajar Ijazah, 305 orang pelajar Darul Quran dan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri (MTQN) telah berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat diploma, 128 orang pelajar di peringkat persijilan dan 29 orang pelajar di peringkat Sijil Tinggi Tarannum al-Quran (STTQ). Selain daripada itu, saudara Mohd Fakrur Amirul Mohamad Rodzi dan Saudari Ain Adilah Mohd Adlan telah dipilih sebagai Penerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri.