Lokasi pertama setiba kami di Cotabato ini ialah al-Nor Complex untuk menjamah makan tengahari. Saya dimaklumkan akan kehidupan sebahagian besar penduduk di Cotabato ini yang agak daif, tetapi kompleks ini zahirnya pula agak moden. Kata mereka inilah antara tempat atau lokasi yang baru dibangunkan beberapa tahun kebelakangan.

Kompleks ini mengumpulkan para peniaga umat Islam, menjadi pusat perkembangan ekonomi dengan pelbagai bentuk perniagaan, kebanyakannya restoran dan lain-lain. Kami memilih restoran Riquisimo yang menghidangkan makanan tempatan. Makanan yang dihidangkan serupa saja dengan apa yang biasa kita makan, cuma sedikit berbeza dengan cara hidangannya. Pinggan untuk nasi agak kecil sedikit dan nasi pula sudah dikempal siap sedia sebelum dikaut ke pinggan masing-masing.

Puan Siti Juwairiah dan keluarganya banyak membantu kami memperkenalkan dan memilih menu yang menyelerakan pada tengahari berkenaan.