Archive for 8 Julai 2012


AN-NOR COMPLEX, COTABATO

Lokasi pertama setiba kami di Cotabato ini ialah al-Nor Complex untuk menjamah makan tengahari. Saya dimaklumkan akan kehidupan sebahagian besar penduduk di Cotabato ini yang agak daif, tetapi kompleks ini zahirnya pula agak moden. Kata mereka inilah antara tempat atau lokasi yang baru dibangunkan beberapa tahun kebelakangan.

Kompleks ini mengumpulkan para peniaga umat Islam, menjadi pusat perkembangan ekonomi dengan pelbagai bentuk perniagaan, kebanyakannya restoran dan lain-lain. Kami memilih restoran Riquisimo yang menghidangkan makanan tempatan. Makanan yang dihidangkan serupa saja dengan apa yang biasa kita makan, cuma sedikit berbeza dengan cara hidangannya. Pinggan untuk nasi agak kecil sedikit dan nasi pula sudah dikempal siap sedia sebelum dikaut ke pinggan masing-masing.

Puan Siti Juwairiah dan keluarganya banyak membantu kami memperkenalkan dan memilih menu yang menyelerakan pada tengahari berkenaan.

Perjalanan hampir 2 jam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino Manila menuju ke Lapangan Terbang Cotabato atau masyarakat di sini memanggil Awang Airport menggunakan penerbangan Cebu Air Pacific. Sedikit debaran di hati saya kerana akan pergi ke satu wilayah yang dikatakan sering bergolak. Tetapi kerana hati saya sudah lama berhajat ke wilayah ini, saya kuatkan semangat.

Satu peristiwa lucu berlaku saat kami tiba di Lapangan Terbang Cotabato. Seorang sahabat kami, Marawan yang berpakaian segak dengan jaket berbanding kami yang hanya mengenakan t-shirt sahaja. Sebaik turun kami melihat satu sepanduk yang menyambut tetamu-tetamu ke program Bangsamoro Leaders Assembly yang kebetulan berlangsung ketika itu. Kami tiga orang – selain Marawan – berada di luar terminal untuk bergambar sementara Marawan berada dalam terminal menunggu bagasinya.

Rupanya Marawan mencari-cari kami dan tertanya-tanya di mana kami berada. Apabila beliau keluar ke arah kami, kami memperkenalkan beliau kepada AJK program berkenaan dan memaklumkan bahawa Marawan yang berpakaian segak ini orang Malaysia dan Sabah yang berbangsa irranun. Saya dimaklumkan bahasa dialek irranun adalah sama dengan dialek meranau.

Kelihatannya AJK penyambut tetamu ini begitu teruja dengannya seraya memakaikan beliau dengan kalungan menandakan beliau termasuk tetamu khas mereka. Beliau kemudiannya keluar diiringi seorang pengawal peribadi, sedangkan asalnya beliau tidak tahu menahu kerana tujuan kami ke sini atas tujuan lain. Keluarga Puan Siti – orang Cotabato yang menyambut Marawan dan kami pula kelihatan teruja bahawa tetamu mereka ini bukan orang sembarangan.

Perjalanan keluar saya perhatikan kami melalui beberapa kali pemeriksaan tentera (check point) – tiga atau empat kali sebelum kami tiba di lokasi pertama, iaitu al-nor complex – satu kawasan perniagaan umat Islam. Ia satu pusat ekonomi yang agak moden berbanding dengan kawasan bandar Cotabato dan sekitarnya.

Biar saya ceritakan sedikit tentang wilayah ini. Wilayah ini namanya Mindanao atau disebutkan juga wilayah Autonomi Islam Mindanao. Wilayah ini terbahagi kepada dua kawasan geografi – tanah besar Mindanao dan Kepulauan Sulu. Lanao del Sur, Maguindanao dan Shariff Kabunsuan terletak di tanah besar Mindanao, sementara Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi di Kepulauan Sulu. Ibu kota wilayah ini ialah Cotabato.

Lokasi tujuan kami di sini ialah sekitar Magunidanao, Shariff Kabunsuan dan Cotabato sendiri. Hasil bacaan dan kisah yang saya dengar, Shariff Mohammed Kabungsuwan dari Johor telah memperkenalkan agama Islam di Maguindanao ini pada kurun ke 12. Beliau kemudiannya berkahwin dengan puteri tempatan dan mendirikan Kesultanan Maguindanao pada sekitar 1203 hingga 1205. Pengaruh kerajaan ini berkembang dari semenanjung Zamboanga ke teluk Sarangani. Ketika kemuncaknya, kesultanan ini memerintah seluruh Mindanao dan juga pulau-pulau yang berjiran. Kerajaan ini pada mulanya beribu kota di kawasan Cotabato. Kesultanan ini jatuh ke tangan Sepanyol dan akhirnya menjadi sebahagian daripada Filipina.

%d bloggers like this: