Archive for 4 Julai 2012


Kenduri malam minggu di Surau Riyadhus Solihin malam minggu lepas rencam sifatnya. Demikianlah selalu surau berkenaan mengendalikan kenduri kendara yang menggabungkan bermacam-macam hajat dan permintaan jamaah mereka. Sekurang-kurangnya ada tiga hajat utama kenduri baru-baru ini.

Pertama, majlis meraikan perpisahan Ustaz Fadhli yang dapat berpindah ke Kelantan serta merta setelah disahkan mengalami komplikasi buah pinggang. Ustaz Fadhli, 35 tahun, berkhidmat sekitar 6 tahun di Kudat, aktif dalam kerja-kerja dakwah dan kesukarelawanan di Kudat seperti memberi kuliah dan ceramah di masjid surau, dan dalam masa yang sama beliau adalah setiausaha Masjid asy-Syakirin Pekan Kudat.

Kedua, majlis juga meraikan kenduri aqiqah dua jamaah surau dengan ekor kambing telah disembelih dan dilapah pada sebelah siangnya secara gotong royong. Ketiga, majlis juga diselangi dengan memperkenalkan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim as-Sakinah Kinarut dan berharap umat Islam dapat membantu daripada segi dana dan menyebarluaskan maklumat berkenaan.

Majlis berkenaan didahului dengan solat maghrib, isyak dan hajat secara berjamaah dan tazkirah oleh Ustaz Dr Haji Nor Azamuddin Umar selaku penasihat surau. Jamaah juga mendengar beberapa ucapan lain terutama Ustaz Fadhli dan Imam Daerah Kudat serta penyampaian cenderakenangan. Semoga Allah SWT memberikan kesihatan kepada Ustaz Fadhli dan kita semua. Amin.

Rupanya di kawasan tepi pagar berdekatan jalan masuk ke pantai Tanjung Aru 3 pada hujung minggu ramai pengunjung berehat bersama terutama anak-anak di hadapan landasan. Di satu sisi, ada beberapa orang yang katanya selalu lepak di situ membawa tangga merakam foto kapal terbang. Sudah berbulan-bulan mereka di situ pada setiap hujung minggu dengan menyemak terlebih dahulu jadual penerbangan dan mengenal pasti jenis-jenis pesawat.

Anak-anak gembira dan menjerit keriangan melihat kapal terbang berbagai-bagai jenis kecil dan besar turun naik. Kapal terbang MAS dan Airasia bergilir-gilir muncul dan pergi membawa penghuni dan muatan masing-masing. Kita pula tumpang seronok melihat gelagat anak-anak riang gembira. Di pantai Tanjung Aru pula anak-anak gembira sekali berlarian di gigi-gigi air, bermain istana pasir, mengukir nama masing-masing di pasir basah.

Insya Allah ada masa berkunjung lagi.

%d bloggers like this: