Archive for 1 Julai 2012


Saya kira kami – siswa siswi dan pensyarah maahad mendapat manfaat yang besar dengan kehadiran dan ceramah yang disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Khairul Anuar Mohammad di surau ar-rahman Maahad Tahfiz pada malam jumaat lepas. Ustaz Khairul adalah pensyarah kanan di Jabatan al-Quran dan as-Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).┬áBeliau juga adalah ahli lajnah tashih al-Quran KDN dan sering muncul di televisyen dalam Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan sebagai hakim munabbih.

Ceramah beliau berlegar tentang kenangan semasa beliau menuntut di Maahad Tahfiz al-Quran Terengganu yang kini dikenali sebagai Institut al-Quran Terengganu dengan guru al-Quran beliau ialah Ustaz Ismail Muhammad (kini Tan Sri – Imam Besar Masjid Negara). Saya dapat merasakan ceramah dengan kaedah penceritaan beliau sangat dekat di hati kami kerana dunia tahfiz yang sama walaupun beliau menghafaz al-Quran pada pertengahan tahun 1980an.

Cerita kegigihan rakan-rakan beliau dalam menghafaz al-Quran, denda yang dikenakan kepada mereka oleh Ustaz Ismail serta tidak kurang untaian nasihat dan motivasi beliau kepada anak-anak didik kami di sini mudah-mudahan akan memperbaiki sikap mereka kearah yang lebih baik. Satu kata kunci daripada nasihat Shaikh Sudais yang pernah ditanya orang yang sangat berharga tentang menghafaz al-Quran ialah ‘banyakkan murajaah’.

Insya Allah jika ada penceramah lain akan saya cuba bawa ke maahad ini untuk meningkatkan motivasi pelajar dan kami semua. Terima kasih Ustaz Khairul Anuar Mohammad.

%d bloggers like this: