Kejohanan Sukan Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah berlangsung dengan meriahnya di Kompleks Sukan Likas Kota Kinabalu pada 22-24 Jun 2012 dengan perasmian penangguhan disempurnakan oleh Ustaz Saifuddin Haji Daud, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAINS.

Kemeriahan jelas terasa dengan jumlah warganya yang semakin ramai iaitu mencecah 42 orang siswa siswi yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Muhammad al-Fateh dan Salahuddin al-Ayyubi; kedua-dua nama berkenaan merujuk kepada tokoh pahlawan dan pemerintah tersohor Islam pada zaman masing-masing.

Sultan Muhammad al-Fateh ialah Sultan yang memerintah Empayar Uthmaniyyah dalam masa singkat iaitu dari tahun 1444 ke 1446 dan kemudian dari tahun 1451 ke 1481. Baginda menakluk Constantinople pada umur 21 tahun yang membawa kepada kehancuran Empayar Byzantine. Sementara Sultan Salahuddin al-Ayyubi  (1137 -1193) mengasaskan dinasti Ayyubi bangsa Kurdis di Mesir danSyria. Beliau juga terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan yang disertai juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib.

Dalam kejohanan sukan ini, antara sukan dan permainan dipertandingkan ialah, futsal (lelaki), bola tampar (lelaki / perempuan), badminton (lelaki /perempuan), ping-pong (lelaki / perempuan), bola jaring (perempuan), sepak takraw (lelaki), karom, catur, congkak, sahibba dan scrabble. Kumpulan Salahuddin al-Ayyubi memenangi kejohanan kali ini dengan perolehan 9 emas sementara Muhammad al-Fateh memperolehi 8 emas.

Semoga kejohanan seumpama ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama mereka, mengukuhkan kesatuan, semangat bekerjasama serta berjuang melawan musuh dan unsur negatif dalam pengajian dan kehidupan mereka selepas ini. Tahniah kepada semua.