Archive for 24 Jun 2012


Alhamdulillah dapat lagi menyertai mesyuarat penyemakan al-Quran kali ini di Hotel Quality Shah Alam. Mesyuarat kali ini didahului dengan pembentangan dan perbincangan bagi melengkapkan kertas kerja dan tayangan ‘power point’ bagi tajuk sejarah penulisan dan pengumpulan al-Quran, ilmu rasm al-Quran dan ilmu dhobt al-Quran. Cadangannya apabila power point ini siap sepenuhnya akan digunakan untuk pembentangan seluruh negara.

Dimaklumkan bahawa Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN sedang rancak mengatur Seminar al-Quran Rasm Uthmani di seluruh negara. Sebelum ini, pembentangan seminar berkenaan bergantung atas kebijaksanaan pembentang dan penceramah sahaja. Walaupun topik yang disampaikan tidak banyak berbeza, pihak penganjur berpendapat lebih baik kertas kerja atau tayangan power point diselaraskan di seluruh negara. Ustaz Khairul Anuar Mohammad al-Bakri diamanahkan untuk mengetuai sesi perbincangan ini dan pada akhir sesi dimuktamadkan bahan yang dipersetujui.

Sesi kedua penyemakan al-Quran kali ini, setiap ahli lajnah menyemak sekitar 44-45 juzu’ seorang, kebanyakannya bahan digital dan readpen yang perlu dihabiskan sebelum tengahari isnin. Banyak perbincangan dan perkongsian idea, maklumat dan pendapat sesama ahli lajnah, dan kesempatan bertemu kali ini saya dan sahabat-sahabat lain dapat bertanya hukum hakam tajwid khususnya kepada Ybhg Dato’ Haji Sallehuddin Omar, salah seorang pakar tajwid di negara ini yang juga naib pengerusi lajnah ini.

Kesempatan ke Shah Alam untuk menyertai mesyuarat penyemakan dan pengesahan teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri kali ini, sekali lagi saya berkunjung ke kedai buku Tinta Ilmu di seksyen 18 Shah Alam milik Tuan Bahrom Kasim yang juga bendahari Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM). Sekotak buku juga saya borong di sini, melihat harga yang berpatutan dan banyak buku baru dan lama yang saya beli. Tanpa melengahkan masa, saya kongsikan foto-foto premis ini.

Selamat datang ke Kedai Buku Tinta Ilmu.

%d bloggers like this: