Buku yang baru dibaca : 

Penulis : Wan Senik

Penerbit : PAS Kawasan Pendang, Kedah Darul Aman

Kesederhanaan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor banyak diperkatakan bukan sahaja oleh pendokong jemaah Islam tetapi juga seteru politiknya. Sikap ramah dan kebapaannya membuatkan bukan sahaja pimpinan PAS yang mendapat asuhan terus darinya sebak mengenangnya, tetapi rakyat biasa yang sesekali dapat berjumpanya pun tidak dapat melupakannya.

Seorang pembantu rapatnya memberitahu, dalam keadaan sakit sekalipun sewaktu membuat pemeriksaan di hospital, Almarhum tetap beratur panjang, seperti pesakit lain juga, untuk mendapatkan ubat. Malah seorang kerani telekom di Alor Setar melihatkan Almarhum berdiri dalam deretan untuk membayar bil telefon, langsung mengisi borang keahlian PAS.

Bagi petugas di Pejabat Agung PAS, menyantuni Almarhum adalah pengalaman berharga yang akan menjadi lipatan kenangan sampai bila-bila. Sebelum menyewa rumah rumah khas, Almarhum kerap tidur di ibu pejabat parti atau pun pejabat Harakah. “Selalu sangat Ustaz Fadzil tidur di atas sofa di Pejabat Agung. Dia tak mahu menyusahkan orang lain,” kata seorang aktivis parti.

Bagi sesiapa yang selalu berkunjung ke Jalan Pahang Barat, tidak sukar untuk menyapa Almarhum di Restoran Haslam ataupun gerai Kak Ros di depan Harakah. Dengan nada suaranya yang agak perlahan, namun gurau senda dan cerita lucunya mudah mencetuskan keceriaan berpanjangan. (Ini diakui sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dr Ismail Ibrahim).