Archive for 23 Jun 2012


Buku yang baru dibaca : 

Penulis : Wan Senik

Penerbit : PAS Kawasan Pendang, Kedah Darul Aman

Kesederhanaan Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor banyak diperkatakan bukan sahaja oleh pendokong jemaah Islam tetapi juga seteru politiknya. Sikap ramah dan kebapaannya membuatkan bukan sahaja pimpinan PAS yang mendapat asuhan terus darinya sebak mengenangnya, tetapi rakyat biasa yang sesekali dapat berjumpanya pun tidak dapat melupakannya.

Seorang pembantu rapatnya memberitahu, dalam keadaan sakit sekalipun sewaktu membuat pemeriksaan di hospital, Almarhum tetap beratur panjang, seperti pesakit lain juga, untuk mendapatkan ubat. Malah seorang kerani telekom di Alor Setar melihatkan Almarhum berdiri dalam deretan untuk membayar bil telefon, langsung mengisi borang keahlian PAS.

Bagi petugas di Pejabat Agung PAS, menyantuni Almarhum adalah pengalaman berharga yang akan menjadi lipatan kenangan sampai bila-bila. Sebelum menyewa rumah rumah khas, Almarhum kerap tidur di ibu pejabat parti atau pun pejabat Harakah. “Selalu sangat Ustaz Fadzil tidur di atas sofa di Pejabat Agung. Dia tak mahu menyusahkan orang lain,” kata seorang aktivis parti.

Bagi sesiapa yang selalu berkunjung ke Jalan Pahang Barat, tidak sukar untuk menyapa Almarhum di Restoran Haslam ataupun gerai Kak Ros di depan Harakah. Dengan nada suaranya yang agak perlahan, namun gurau senda dan cerita lucunya mudah mencetuskan keceriaan berpanjangan. (Ini diakui sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Dr Ismail Ibrahim).

Khatib : Ustaz Abdul Rahman Ibrahim

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Bulan Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadhan yang merupakan medan ibadah bagi umat Islam. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya”. Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam dianjurkan pelbagai ibadah antaranya :

Pertama : Melakukan ibadah puasa sunat dan qiyamullail, Inilah ibadah yang paling diutamakan oleh Rasulullah SAW pada bulan yang mulia ini. Rasulullah SAW memperbanyakkan ibadah puasa sunat pada 15 terakhir bulan Syaaban. Ambillah peluang ini untuk membiasakan diri kita dengan ibadah puasa supaya ianya tidak menjadi keberatan apabila tibanya bulan Ramadhan. Melakukan Solat tahajjud dan solat sunat taubat amatlah ditekankan terutama pada malam Nisfu Syaaban. Inilah masa yang sesuai untuk diperbanyakkan berdoa memohon supaya diberi keampunan dan kerahmatan dari Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman,“Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia? Adakah di sana adakah di sana? sehingga terbit fajar.”(Riwayat ibn Majah)

Kedua: Memperkukuhkan tali silaturrahim sesama manusia. Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ianya bersangkutan dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka saling bermaafan. Sucikan diri dari perasaan dendam dan dengki sesama muslim sebelum tibanya Ramadhan supaya amal ibadah pada bulan yang berkat ini dapat dirasai kemanisannya.

Ketiga: Beristiqamah melaksanakan amal ibadah dan kebajikan. Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian. Beristiqamah membawa maksud sentiasa melakukan amal ibadah tersebut tiap-tiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa yang diambil untuk melaksanakannya.

Keempat: Memperbanyakkan memohon keampunan daripada Allah SWT. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan segala dosa yang dilakukannya saban waktu. Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah terutamanya dosa-dosa kecil yang datang dari perbuatan manusia samada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran dan perbuatan. Semua dosa ini sebenarnya telah menjadi titi-titik hitam di dalam hati yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Lebih membimbangkan, hati akan jauh dari petunjuk Allah SWT. Perbanyakkan berdoa dan memohon ampun daripada Allah SWT kerana selagi pintu keampunan itu terbuka.

%d bloggers like this: