Archive for 22 Jun 2012


Saya mendapat satu lagi pengalaman berharga apabila dapat berkunjung ke Surau al-Ikhwan Kg Gimba Mansud, dalam daerah Kuala Penyu bagi mengisi program sambutan dan ceramah Isra’ wal Mi’raj pada malam isnin lepas atas ajakan Tuan Haji Samin Ongki yang lebih mesra kami panggil cikgu Samin, kerana beliau pernah menjadi guru sekolah dan pengawas asrama SMU Islam Toh Puan Hajjah Rahmah pada tahun 90-92.

Kami bertolak dari rumahnya sekitar jam 4.30 petang dengan sepanjang perjalanan yang penuh dengan maklumat. Apatah lagi cerita-cerita isu semasa, sehingga kami masuk ke daerah Kuala Penyu beliau menceritakan sejarah, perkembangan dakwah dan situasi politik semasa daerah berkenaan pula. Maklumlah beliau berasal dari Kg Kerukan, kampung yang bersebelahan dengan lokasi tujuan kami petang itu.

Sebelum tiba ke surau, kami singgah sebentar ke Pantai Mansud yang indah pemandangannya, putih bersih pasirnya serta damai suasananya. Namun sayang sekali saya lihat pantai ini tidak diusahakan dan dimajukan sebagai lokasi tumpuan masyarakat. Barangkali baik juga kalau dimajukan, dipromosi  dan diadakan beberapa gerai-gerai untuk memajukan ekonomi masyarakat kampung.

Surau yang dimaksudkan tidak jauh dari situ, kami tiba sekitar jam 6 petang. Seronok melihat orang kampung bergotong royong masak memasak dan menyediakan juadah petang dan untuk malam selepas ceramah nanti. Surau yang kecil molek, barangkali hanya muat sekitar 80-100 orang, tetapi majlis ceramah yang saya sampaikan sehingga ke akhir dihadiri lebih 150 orang termasuk anak-anak muda yang naik bermotorsikal. Saya asalnya tidak perasan kerana di dalam surau hanya nampak orang-orang dewasa dan veteran sahaja.

Rupanya di luar surau lagi berpuluh-puluh anak muda menanti dan kemudiannya makan bersama-sama. Alhamdulillah. Semoga ada kebaikan untuk semua.

Sejak beberapa minggu kebelakangan, kuliah pengubatan Islam anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah berjalan lancar di bilik kuliah 2 dan dihadiri sekitar 60 orang peserta yang datang daripada pelbagai latar belakang. Ada guru agama, ada pegawai kerajaan, swasta, pelajar, dan sebagainya. Kuliah dibimbing oleh Ustaz Nik Anwar Zakaria yang sekali lagi menyumbangkan ilmu dan tenaganya untuk masyarakat. Mulai minggu ini juga sesi tasmik hafazan ruqyah juga berlangsung dan berlanjutan kepada minggu-minggu berikutnya.

Sebagaimana kami dan peserta pengubatan Islam pernah dibimbing dalam  musim pertama tahun lepas, bahawa kuliah seumpama ini bukan sekadar untuk pandai dan boleh merawat bahkan ia menjadi medium dakwah, memperbetulkan aqidah, syariat dan akhlak masyarakat melalui pengubatan Islam. Semoga peserta yang menuntut sekarang ini, akan berjaya dengan jayanya di kuliah dan seterusnya berkhidmat kepada masyarakat kerana Allah SWT.

%d bloggers like this: