Foto ini saya rakamkan beberapa minggu lepas di surau Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Ia foto yang sangat bermakna sekali buat saya. Imam solat ini, kisahnya pernah saya catatkan di blog ini beberapa tahun lalu.

Biar saya ceritakan semula secara ringkas.

Satu ketika dahulu ada seseorang datang ke Masjid Negeri Sabah untuk belajar mengaji al-Quran, dalam keadaan orang berkenaan memang buta al-Quran, tidak tahu apa-apa. Bahkan beliau mengaku tidak pernah solat dan puasa. Kesedaran timbul dengan beliau suatu hari mendakwa bermimpi jumpa Rasulullah SAW. Demikian cerita beliau kepada saya.

Justeru selepas itu timbul kesedaran untuk mengaji al-Quran. Beliau khatam buku iqra dalam beberapa bulan dan kemudian menyambung al-Quran sekadar beberapa juzu’. Apabila Ramadhan berikutnya tiba, beliau hilang begitu saja tanpa perkembangan apa-apa. Selepas 6 tahun kemudian, iaitu pada awal tahun ini tanpa diduga saya bertemu dengan sahabat lama ini di Masjid Negeri Sabah, setelah pertemuan pertama juga di masjid yang sama.

Foto di atas sangat menyenangkan hati saya. Saya terserempak dengannya di surau terminal 2, dalam situasi hendak menunaikan solat. Beliau meminta saya menjadi imam, sedangkan saya terpaksa menolak kerana hendak ke bilik air terlebih dahulu. Maklumlah baru tiba di Kota Kinabalu ketika itu. Saya masuk kembali ke surau, beliau sudah menunaikan solat sebagai imam. Ia suatu yang amat menggembirakan berbanding 5-6 tahun lalu saat pertemuan pertama kali.

Selepas solat sempat saya bertanya tentang tilawah al-Qurannya. Dia kata sudah dapat menghafaz beberapa surah lazim, dan itulah yang dibawanya di dalam solat. Alhamdulillah, semoga beliau dikuatkan iman dan kesungguhan untuk terus belajar al-Quran. Insya Allah.