Archive for 19 Jun 2012


SYAH ISKANDAR

Suka hati saya apabila sabtu baru lalu dapat berziarah ke rumah sahabat baik di Beaufort, Tuan Haji Yakob Haji Jilun dan isteri Ustazah Suzanah Jamadih yang selamat menimang cahayamata pertama mereka pada 19 April lepas. Kami singgah selepas menziarahi Ybhg Datuk Haji Abdul Ghaffar Rijim al-Hafiz seorang tokoh agama dalam bidang al-Quran di Sabah. Seronok juga mendengar celoteh mereka dengan pengalaman menangani anak pertama.

Alhamdulillah, sempat juga diberi peluang mentahnik anakanda ini. Allahumma faqqihhu fiddin wa ‘allimhu fi at-ta’wil. Mudah-mudahan kehadiran anak pertama mereka yang diberi nama Syah Iskandar ini akan menceriakan dan menambah bahagia kehidupan berkeluarga mereka. Jangan jemu-jemu mengandung lagi agar dapat melahirkan zuriat yang kasihkan agamanya.

Terima kasih juga kepada Haji Yakob, kerana kesempatan yang sama beliau turut menitip nasihat buat para beberapa lepasan maahad yang akan ke Mesir tahun ini.

Segala puji milik Allah SWT yang memberikan kami kesempatan untuk berziarah ke Kampung Takuli Beaufort, pada sabtu lepas khususnya ke rumah Ybhg Datuk Haji Abdul Ghaffar Rijim al-Hafiz yang saya ketahui sebagai orang Sabah pertama menghafaz al-Quran di Maahad Tahfiz Masjid Negara antara tahun 1970-1973.

Perjalanan kami dari Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah di Kepayan dalam misi merakam sebahagian sejarah kehidupan beliau khususnya untuk tatapan generasi muda seperti kami dan para pelajar maahad. Kami – empat pelajar ikhwah maahad dan saya sendiri melakukan temuramah bersama beliau dan sebahagian temuramah itu akan dimuatkan ke dalam majalah maahad yang sedang diusahakan sekarang.

Saya sendiri mencadangkan agar temuramah dilakukan kepada Datuk Haji Abdul Ghaffar agar generasi mengetahui perjuangan orang-orang lama seperti beliau. Asalnya saya tidak dapat membayangkan pada zaman akhir 60an dan awal 70an di sebuah daerah terpencil – Beaufort – bagaimana ketika itu, ada seorang anak muda yang baru berumur 20 tahun tergerak hati untuk turut serta menghafaz al-Quran ke ibu negara di Masjid Negara Kuala Lumpur, dalam keadaan dialah orang pertama dari kampung, daerah dan negerinya yang masuk ke dalam dunia menghafaz al-Quran.

Beliau lahir pada 8 April 1949 di Kampung Takuli Beaufort dan mendapat pendidikan awal di SK Takuli pada tahun 1960 dan sekolah agama rakyat pada tahun 1962. Beliau berpeluang melanjutkan pengajian di Maahad Tahfiz Masjid Negara pada 1970 atas buah fikiran SS Mufti Sabah ketika itu Muhammad Ahmad setelah sebelum itu Datuk Haji Abdul Ghaffar juga ditawarkan untuk bertugas sebagai muballigh (pendakwah) di Kudat. Beliau memilih untuk menyambung pengajian kerana merasa masih kekurangan ilmu agama untuk terjun ke masyarakat.

Perlu diingat bahawa sebelum itu lagi beliau sudah terdedah kepada tilawah al-Quran hasil didikan sejak kecil. Bahkan pada tahun 1969, setahun sebelum berangkat ke Kuala Lumpur menyambung pengajian, beliau adalah johan Majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri Sabah. Untuk rekod beliau pernah menyandang johan MTQ Negeri Sabah sebanyak 8 kali iaitu pada tahun 1969, 1971, 1974, 1979, 1980, 1985, 1993 dan 1999. Bahkan pada tahun 1981, beliau pernah mewakili Malaysia ke Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Makkah, Arab Saudi bagi kategori tilawah bertarannum dan menghafaz juzu’ 1, dan beliau dinobatkan sebagai johan.

Antara guru al-Quran beliau ketika itu di Sabah ialah Tuan Haji Maarif Ansat (bapa kepada Imam Muda Ali Khairuddin) dan juga Ustaz Haji Jais Alias yang berasal dari Melaka dan berdakwah di Sabah sejak akhir 60an hingga kini. Sehingga catatan ini dibuat, kedua-dua guru beliau masih hidup dan sihat, alhamdulillah.

Datuk Haji Abdul Ghaffar Rijim berkahwin pada kali pertama pada 1974 dengan Hajjah Kuriah Tasip dan dikurniakan 8 cahayamata yang kini berumur antara 23 hingga 37 tahun. Menarik untuk dicatatkan, kelapan-lapan anak mereka semuanya bersekolah menengah di SMU Islam Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu.

Empat daripadanya menjadi guru agama dan hanya seorang yang mendalami ilmu tarannum, mengikut jejak langkahnya. Saya catatkan nama mereka Ramlah, Mohd Rahmat, Hafizah, Faridatulhussna, Marhamah, Siti Mariam, Siti Asma dan Faridul Attrass. Datuk Haji Abdul Ghaffar berkahwin kali kedua dengan Datin Hajjah Lapiah Taim pada awal tahun 2001 setelah Hajjah Kuriah meninggal dunia sebelum itu.

Di Maahad Tahfiz Masjid Negara, antara rakan-rakan sepengajian beliau ketika itu ialah Ustaz Haji Abdullah Ahmad (Pahang), Ustaz Haji Mohd Ilham Mohd Ikhsan (Selangor), Datuk Sheikh Mohammad Nor Mansur (Perak), Datuk Haji Hassan Mahmud (Perlis), Ustaz Mohd Saman Abd Manan (Melaka), Ustaz Zainol Mohd Noh (Kedah), Ustaz Abd Salam Mohammad (Terengganu), Ustaz Haji Salleh Yaakob (Sabah), Ustaz Sham Talib (Sarawak), Ustaz Haji Zaharuddin Haji Ahmad (Negeri Sembilan) dan Datuk Haji Shanggari Abdullah. Beliau juga tidak lekang menyebut guru yang mereka kasihi, Shaikhul Maqari Ustaz Haji Hassan Ismail yang berasal dari Johor.

Dalam perkhidmatannya, beliau pernah bertugas di beberapa buah Sekolah Ugama Islam Sabah (SUIS) antaranya Kg Sembulan Kota Kinabalu, SUIS Kg Kerukan Kuala Penyu, SUIS Rancangan Klias Beaufort, SUIS Pekan Beaufort dan akhirnya bertugas sebagai Imam Bahagian Pedalaman Bawah yang pejabatnya terletak di JHEAINS Daerah Beaufort. Peranan utamanya ialah mengetuai dan memantau gerakkerja semua imam-imam masjid dari daerah Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu dan Membakut.

Di pihak kerajaan negeri Sabah, beliau telah menerima beberapa anugerah. Antaranya, anugerah Imam asy-Syafie peringkat daerah Beaufort dan Negeri Sabah sempena Sambutan Maal Hijrah 1424/2003; pingat Bintang Setia Kinabalu (BSK) daripada TYT Tun Sakaran Dandai pada 2001, dan Pingat Gemilang Darjah Kinabalu pada tahun 2010 daripada TYT Tun Ahmadshah Abdullah yang membawa gelaran Datuk.

Walaupun telah bersara daripada tugas-tugas perkhidmatan awam sejak 8 April 2005, beliau tetap menyumbangkan baktinya kepada masyarakat dengan mengadakan kelas-kelas tahsin al-Quran antaranya di Masjid Pekan Beaufort, Masjid Kg Garama dan Masjid Kg Gadong kesemuanya di daerah Beaufort. Selain itu beliau juga masih merupakan seorang jurunikah dan wali hakim yang bertauliah.

Kepada kami dan pelajar-pelajar yang menyertai ziarah itu, beliau menasihatkan terus menuntut ilmu-ilmu al-Quran, dan lebih daripada itu selepas melanjutkan pelajaran beliau mengingatkan agar tidak mendiamkan diri dengan tidak mahu mengajar dan membimbing masyarakat setempat. Sebenarnya beliau berpendapat, masyarakat sangat dahagakan bimbingan para ilmuan agama bermula daripada asas, jadi para ilmuwan mestilah tahu meletakkan diri mereka pada tempat yang sewajarnya.

Datuk Haji Abdul Ghaffar Rijim diapit oleh isterinya Datin Hajjah Lapiah Taim dan anaknya Ustazah Hafizah.

Rakan sepengajian beliau antara tahun 1970-1973. Berdiri dari kiri : Ustaz Haji Abdullah Ahmad (Pahang), Datuk Haji Abdul Ghaffar Rijim (Sabah), Ustaz Haji Mohd Ilham Mohd Ikhsan (Selangor), Datuk Sheikh Mohammad Nor Mansur (Perak), Datuk Haji Hassan Mahmud (Perlis), Ustaz Mohd Saman Abd Manan (Melaka). Duduk dari kiri : Ustaz Zainol Mohd Noh (Kedah), Ustaz Abd Salam Mohammad (Terengganu), Ustaz Haji Salleh Yaakob (Sabah), Ustaz Sham Talib (Sarawak). Tiada dalam gambar : Ustaz Haji Zaharuddin Haji Ahmad (Negeri Sembilan) dan Datuk Haji Shanggari Abdullah.

Sahabat seperjungan di Sabah. Ybhg Datuk Haji Abdul Ghaffar Rijim (lahir 1949), Allahyarham Datuk Haji Asmali Bachi (lahir 1948) dan Datuk Haji Mokhtar Rapok (lahir 1949).

 Bergambar kenangan bersama Tun Ahmadshah Abdullah dan Toh Puan Hajjah Dayang Masuyah Ag Japar di Istana Negeri Sabah (2010).

%d bloggers like this: