Archive for 17 Jun 2012


FOTO MAKAN-MAKAN

Maklumlah sebagai tetamu rasmi di negeri orang, kami banyak diundang ke majlis-majlis jamuan rasmi oleh pelbagai pihak. Bagi diri saya sendiri pula, tidak semua yang saya sertai. Walaubagaimanapun, alhamdulillah, semua layanan tuan rumah dan menu-menunya sedap belaka.

Teringat ketika jamuan tengahari bersama YB Exco Agama Johor, saya duduk bersebelahan dengan sahabat qari negeri Melaka, seorang pensyarah UiTM berasal dari Kelantan yang sudah 6 tahun bertugas di Melaka. Sebenarnya kami belum pernah bertegur sapa pun sebelum ini. Jadi beliau menyapa terlebih terlebih dahulu : “Abu Nuha Corner?”

Saya tersengih dan mengiyakan. Katanya dia melakukan carian di internet berkenaan MTQ Kebangsaan dan blog saya timbul dalam senarai carian tersebut. Tidak keterlaluan, sebenarnya tidak ramai blogger yang membuat liputan dalam MTQ berkenaan dan MTQ yang lepas melainkan sekadar catatan di fb sahaja. Alhamdulillah bertambahlah senarai sahabat dan pengikut blog ini. Saya rakamkan sebahagian foto-foto untuk kenangan bersama.

Seingat saya pertama kali mendengar ‘kalimat’ Maahad Johor ialah ketika zaman saya bersekolah menengah pada tahun-tahun pertengahan 90an. Ya, beberapa orang guru agama dan tokoh pendidikan di Sabah pernah mendapat pendidikan di maahad ini. Maka apabila berada di Johor Bahru untuk MTQ Kebangsaan tempoh hari, saya teringin benar melihat dan berziarah walau sebentar ke institusi yang banyak melahirkan tokoh agamawan ini.

Daripada serba sedikit bacaan dan carian, idea, cadangan awal dan pertemuan telah berlaku pada tahun 1958 di Johor Bahru di kalangan pegawai-pegawai agama seperti mufti, timbalan mufti dan lain-lain sehingga mencetuskan cadangan untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah arab dan akhirnya dilancarkan pada 17 Oktober 1960 oleh YDP Jabatan Agama Islam Johor ketika itu iaitu Datuk Raja Hj. Omar bin Chik.

Pengajian dan pendidikan agama di Johor sebenarnya mengalami perjalanan dan peningkatan yang menarik. Pada tahun 1918, ia bermula dengan ‘sekolah al-Quran’ yang hanya memberi tumpuan kepada pembelajaran al-Quran. Pada tahun 1920 berubah kepada ‘sekolah kitab’ dengan tambahan subjek tauhid, ibadat dan tasauf selain al-Quran tadi. Kemudian pada tahun 1923 nama ‘sekolah kitab’ ditukar kepada ‘Sekolah Agama Petang’ dengan penambahan pelajaran muamalat, munakahat, faraid, jenayah, akhlak, tarikh, tulisan jawi dan bahasa arab. Tahun itu juga diwujudkan kelas ‘darjah khas’ untuk lanjutan dari sekolah agama petang.

Pada tahun 1960, barulah maahad johor ditubuhkan dengan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar dengan lokasi operasinya ketika itu ialah di Jalan Datin Halimah, Larkin Lama, Johor Bahru. Pada peringkat awal ini kos operasi dan pentadbiran maahad diletakkan di bawah Bahagian Zakat dan Fitrah, Jabatan Agama Islam Johor. Pada 19 Februari 1979 adalah tarikh rasmi seluruh Pentadbiran Maahad Johor diambil alih oleh Majlis Agama Islam Johor. Perkembangan dan sambutan masyarakat terhadap maahad ini menyebabkan ia tidak dapat menampung jumlah pelajar yang semakin ramai.

Dari lokasi lama, berpindah pula ke lokasi kedua di Jalan Beringin, Taman Kebun Teh, Johor Bahru yang juga bersifat sementara sementara menantikan siapnya Kompleks Islam Negeri Johor yang dibina di satu kawasan yang berhampiran dengan Masjid Sultan Abu Bakar di mana bangunan Maahad Johor yang tetap akan dibina. Sejak bulan ogos 1992, lokasi Maahad Johor ialah di Jalan Gertak Merah, bersebelahan dengan Masjid Sultan Abu Bakar.

Satu ketika, Sabah pernah menghantar wakil-wakilnya untuk berguru dan mendalami ilmu-ilmu Islam di sini. Antara nama yang saya dimaklumkan ialah Ustaz Hamdani Omar, Ustaz Haji Pengiran Omar Pengiran Gana, Ustaz Haji Jasri Johor, Ustaz Haji Zaini Jair, Mahmud Lujum dan tidak ketinggalan Ustaz Haji Bungsu Aziz Jaafar dan lain-lain yang saya tidak ketahui. Saya kurang maklum adakah masih terdapat anak-anak Sabah yang dihantar ke maahad ini sehingga sekarang.

Doa saya semoga sekolah ini terus cemerlang. Terima kasih atas budi baik Ustaz Azhar dan Sdr Jamil yang sudi membawa saya, Faten dan Ummu Faten berziarah ke sini. Juga beberapa maklumat menarik oleh Ustaz Hamdani Omar.

Terima kasih juga antara sumber rujukan ialah : http://mppmj11.blogspot.com/2011/05/sejarah-penubuhan-dan-perkembangan.html dan http://muhammadariff.blogspot.com/2009/09/maahad-johor.html

%d bloggers like this: