Archive for 16 Jun 2012


BERTEMU MUFTI BRUNEI

Ketika saya sedang rehat-rehat di lobi Puteri Pasific Johor Bahru bersama Faten dan Ummu Faten, berdiri tidak jauh dari tempat kamu duduk itu, sosok tubuh yang saya pernah lihat wajahnya lewat media tv dan akhbar. Beliau lengkap berjubah dan berkopiah ala Universiti al-Azhar. Ya saya kenal muka ini dan suatu ketika pernah saya memasang impian untuk bertemu dengannya. Itulah Sohibus Samahah Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abd. Aziz bin Juned Mufti Kerajaan Brunei Darussalam. (Lahir 3hb. Zulhijjah, 1360 bersamaan 22hb. Disember, 1941).

Koleksi tulisan-tulisan beliau khususnya berkenaan fatwa dan isryad hukum pernah saya baca dan ada beberapa buku-buku berkenaan dalam senarai koleksi maktabah saya. Saya juga pernah kali menyalin beberapa artikel hukum dari web jabatan mufti Brunei dan saya muatkan di blog ini. Sedikit pengetahuan saya tentang latar pendidikan beliau setelah sedikit bacaan dan rujukan ialah beliau pernah menuntut Sekolah Arab Al-Juned Singapura, Kolej Islam Malaya dan seterusnya ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Mengikuti Latihan Dalam Perkhidmatan di Darul Ifta, Mesir selama setahun pada tahun 1979 – 1980.

Suka saya melihat wajah bersih beliau dan sempat saya menyapa beliau dalam bahasa brunai serta bergambar kenangan bersamanya. Saya memperkenalkan diri mewakili rombongan dari Sabah sempena MTQ Kebangsaan. Di sisi beliau ada seorang pegawai kanan Jabatan Agama Islam Johor, dan SS Mufti memberitahunya bahawa bahasa pertuturan ibunda kami sama. Rupanya beliau datang ke Johor Bahru atas undangan khas Sultan Johor khususnya sempena MTQ Kebangsaan. Mungkin juga ada majlis lain yang saya kurang maklum.

Pertemuan membahagiakan itu tidak berakhir di sana. Ketika solat jumaat di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar Johor Bahru, tokoh ini sekali lagi tampil dan menyampaikan khutbah. Saya lihat ada teks yang dibaca tetapi penyampaiannya cukup kemas dan lancar. Walaupun suara beliau sederhana, tidak lantang, isunya pula asas taqwa, tetapi barangkali keikhlasan beliau menyampaikan khutbah menyebabkan air mata saya mengalir.

Tentang taqwa, beliau memberi contoh taqwa daripada segi perbuatan dan percakapan. Memudahkan kefahaman jamaah jumaat, beliau menyatakan taqwa itu ialah apa sahaja berkaitan sebarang perkataan dan perbuatan baik yang menepati ajaran Islam dan dilakukan kerana Allah SWT.

Melalui taqwa secara perkataan beliau sampaikan suatu kisah silam ulama terkenal al-Banan yang menegur dan menasihati raja ahmad ibnu tolun yang pernah berlaku zalim kepada rakyatnya. Raja telah mengurung beliau dan dalam masa yang sama mengurung seekor singa selama tiga hari dengan tidak diberikan makan minum selama tempoh itu, dengan harapan apabila singa berkenaan melihat al-Banan, ia akan menerkam dan membahamnya. Allah SWT menyelamatkan ulama berkenaan dan singa berkenaan bukan sahaja tidak menerkam al-Banan bahkan duduk di sisinya yang sedang sujud kepada Allah SWT.

Seingat saya, ini antara khutbah dalam bahasa melayu hebat yang pernah saya dengar dalam hidup saya. Saya ingatkan saya sendirian merasa teruja dan keinsafan dengan khutbah yang beliau sampaikan, rupanya selepas berakhir solat jumaat hari itu, beliau diserbu oleh umat Islam yang ingin bersalam, mencium tangannya dan memeluk beliau. Seorang jurugambar yang saya lihat di hadapan mata saya menangis-nangis di hadapan SS Mufti Brunei ini, mencium tangan dan memeluknya  seraya meminta agar beliau mendoakan kebaikan untuknya.

Orang lain juga ramai yang datang menyalami dan memeluknya. Saya berkongsi perasaan terharu yang sama dengan beberapa teman bersama-sama jumaat ketika itu antaranya Ustaz Ikmal Zaidi Hashim, Ustaz Farid Ravi Abdullah dan beberapa yang lain yang mengakui khutbah berkenaan sebagai menusuk perasaan diri masing-masing. Saya melihat juga ramai ustaz-ustaz yang bersama-sama mencium tangan beliau termasuk Ketua Pengarah JAKIM Dato’ Othman Mustafa dan lain-lain.

Sebahagian khutbah itu saya rakam dengan telefon bimbit tetapi hasil audionya kurang memuaskan dan sayup-sayup sahaja. Saya berharap akan dapat menghubungi pejabat SS Mufti untuk mendapatkan salinan khutbah berkenaan.

Kenangan di Johor memang manis dan menggamit perasaan kami. Bukan semata-mata kedudukan qari dan qariah yang mendapat kedudukan tiga terbaik kali ini, tetapi persahabatan dan bantuan sahabat-sahabat baru di Johor Bahru itulah yang paling kami kenang.

Paling akan kami ingat ialah Ustaz Azhar yang menjadi pengawai perhubungan (LO) bagi negeri Sabah. Tidak ketinggalan pemandu, sdr Jamil yang bersedia ‘mengangkut’ kami siang malam ke mana saja kami berhajat untuk pergi. Tidak cukup itu, setiap daripada kami – qari, qariah dan pengiring seluruh negara – menerima beberapa cenderamata lagi dari tuan rumah Johor.

Ada beberapa lagi catatan yang belum selesai sepanjang permusafiran kami seminggu di Johor Bahru. Insya Allah akan menyusul.

%d bloggers like this: