Archive for 15 Jun 2012


Khatib : Ustaz Jasimin Mohd Rashid 

Lokasi : Masjid al-Amin Kg Serigai Putatan

Tugas utama Nabi Muhammad SAW dan rasul adalah untuk membina diri manusia supaya berakhlak mulia dan beramal soleh. Pembangunan diri manusia, pembangunan insan adalah menjadi tonggak segala pembangunan yang lain. Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah manusia itu boleh membangunkan akhlak yang mulia ? Inilah yang perlu difahami dan dipelajari dalam peristiwa Isra’ Mikraj.

Dalam peristiwa Isra’ Mikraj Nabi Muhammad SAW telah dibawa untuk melihat setiap kelakuan manusia samada yang nyata atau ghaib yang terdapat di bumi dan di tujuh lapis langit serta bertemu dengan Allah SWT. Menurut ahli tafsir seperti Ibnu Kathir, menyatakan Nabi Muhammad melihat Allah SWT secara mata hati dan menerima perintah melaksanakan program solat fardhu 5 waktu sehari semalam secara terus dari Allah SWT. Inilah gagasan terbesar Allah SWT memanggil mengadap Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha. Manakala perintah melakukan ibadah-ibadah wajib yang lain disampaikan Allah SWT melalui malaikat Jibril.

Berdasarkan gagasan Isra’ Mikraj ini jelas bahawa solat fardhu lima waktu adalah program utama yang Allah fardhukan kepada umat Islam. Solat fardhu menjadi perintah utama kerana ia menjadi ibu segala amal ibadah, wajib dilaksanakan samada semasa sihat atau sakit, menjadi tonggak kekuatan agama, menggugurkan segala dosa dan menyelamatkan azab kubur. Selain itu kualiti solat ini juga akan menentukan kualiti pelaksanaan ibadah-ibadah yang lain.

Terdapat perkaitan yang kuat bahawa jika seseorang itu lemah melaksanakan solat, maka ibadah yang lain pun mempunyai tahap yang sama. Berdasarkan perkaitan inilah maka amalan solat adalah amalan yang dapat mencegah berlakunya kemungkaran kepada seseorang itu.

Menurut Imam Ghazali, antara amalan untuk membentuk solat yang khusuk ialah pertama: memastikan sumber rezeki itu adalah halal, Kedua: mendirikan solat seolah-olah akan menghadapi kematian pada esok hari, ketiga: mendirikan solat pada awal waktu, Keempat: memahami pengertian bacaan dalam solat, kelima: mengambil wudhu’ dengan sempurna dan pakaian bersih dan keenam: memiliki sifat malu kepada Allah SWT jika perlaksanaan solat itu tidak sempurna.

Justeru, akhlak yang kurang baik dan keruntuhan moral yang dideritai oleh segolongan umat Islam kini berpunca daripada solatnya tidak khusyuk menyebabkan mereka masih melakukan perbuatan keji dan maksiat. Mereka ini melakukan solat tetapi masih juga melakukan perbuatan berdosa.

%d bloggers like this: