Archive for 8 Jun 2012


Malam terakhir sebelum malam penutupan, adalah malam yang melibatkan qari Sabah Ustaz Raffe Ghalil Abbas. Malam yang sama melibatkan qari Wilayah, Kelantan dan tuan rumah Johor. Malam sengit, kata kawan-kawan. Setengah jam sebelum bermula, saya bertemu Ustaz Raffe dan berbincang sebentar kerana kami tidak berkesempatan bertemu muka sejak siang. Kami tinggal berasingan hotel kerana beliau membawa keluarganya sekali.

Perbincangan kami lebih kepada tentang tajwid seperti masalah ghunnah dan lain-lain, dan tentang fasohah khususnya bab waqaf ibtida’. Bab tarannum dan suara, saya tidak usik kerana beliau lebih mahir dan tahu. Saya menyampaikan pesan ramai orang yang berkirim salam kepadanya melalui saya dan mendoakan beliau agar diberikan ketenangan. Antara yang berpesan baik ialah Ybhg SS Mufti Sabah Datuk Haji Ahmad Alawi Haji Adnan dan Datuk Haji Amri Suratman Pengarah JHEAINS dan beberapa individu lain.

Ini debaran kedua bagi saya kerana saya adalah pengiring qari Sabah. Debaran pertama berlalu pada malam kedua apabila Faten naik ke astaka, kerana dia antara pelajar saya juga di Maahad. Sebagaimana yang saya catatkan di facebook, setelah kedua-duanya mempersembahkan bacaan masing-masing, kami mengambil pendekatan merendah diri dan tidak terlalu berharap kerana ini pengalaman pertama buat qari dan qariah tampil di peringkat kebangsaan, bahkan ramai peserta yang berpotensi untuk meraih kejayaan.

Ada kelebihan, dan ada juga kesilapan pada kebanyakan peserta, jadi agak sukar untuk memenuhi jawapan bagi pertanyaan ramai yang menghantar sms : “peserta Sabah ada harapan?” Sekadar saya menjawab : Wallahu a’lam. Harapan rakan-rakan dan ramai pihak cukup tinggi, dan saya sebagai pengiring dan dekat dengan kedua-dua peserta serta bergaul dengan kebanyakan peserta kebangsaan dapat merasai kehangatan MTQ kali ini kerana berada di dalam dewan mendengar semua peserta dan semangat dalam dewan, sudah tentu tidak sama dengan yang berada di rumah.

KUNJUNGAN YANG ‘MENJULINGKAN’ MATA. Hihihi..

Perjalanan dan lawatan terakhir yang diatur sejak isnin hingga khamis ialah melawat kilang brooch Tiffany di Pontian yang mengambil masa sekitar 50 minit dari hotel Puteri Pasific tempat penginapan kami selama seminggu ini. Bas besar kami penuh sesak, tidak cukup dengan bas terpaksa dengan kenderaan lain lagi. Rombongan para hakim juga ada sama dengan bas yang berlainan.

Seperti biasa, perjalanan lancar dengan bantuan 2 motorsikal polis trafik dengan bas dan kenderaan lain diistimewakan dengan sticker vip. Kami tiba sekitar jam 9 pagi, dengan disambut mesra oleh pegawai dan pekerja kilang berkenaan. Sebahagian besar rombongan kami yang baru bersarapan di hotel, di sini dijamu sekali lagi oleh tuan rumah sebelum dibawa naik ke tingkat 1 untuk acara berbelanja dan menghabiskan duit.

Apabila melihat keronsang yang dimaksudkan, barulah saya faham kenapa bas kami penuh sesak dan tidak muat. Saya yang bukan jenis ‘shopping’ keronsang pun akhirnya tergoda sama. Mujurlah saya hanya sempat mengeluarkan sedikit duit sebelum bergerak keluar tadinya. Satu lagi yang menyebabkan saya agak bersederhana dan bertahan juga ialah kerana kilang berkenaan tidak menyediakan perkhidmatan kad debit dan kad kredit. Masa yang dihadkan oleh penganjur juga banyak membantu. Hihi..

Kilang ini beroperasi di atas tapak seluas 2 ekar di Pontian. Jenama Tiffany telah didaftarkan pada tahun 1980 dan kemudiannya telah mengimport koleksi-koleksi terawal dari Tokyo Jepun dengan menjadikan kepelbagaian dan kekayaan budaya tempatan sebagai inspirasi. Oh ya, dengan pembelian rm100 di bilik pameran tiffany, pengunjung akan mendapat hadiah berbentuk keronsang atau gelang atau rantai beserta loket.

Sedikit buah tangan dibeli untuk isteri yang tersayang… yes!

Brooch Tiffany, tel 07-6870255 fax 07-6863607. Emel : micronis@tm.net.my

%d bloggers like this: