Archive for 7 Jun 2012


MTQ Kebangsaan kali ke 55 malam ketiga di Persada Johor ini diteruskan lagi dengan 8 orang peserta, 4 qari dan 4 qariah. Malam ini tiada peserta Sabah. Pengalaman peribadi pertama kali menyertai rombongan Sabah ke sini ialah apabila bertemu ramai sahabat-sahabat lama dan baru, sama ada ketika zaman belajar di Mesir dahulu, rakan dan senior di Shoubra dan lain-lain.

Begitu juga sesetengah kenalan baru seperti perwakilan negeri-negeri lain ada yang pernah ke Sabah juga khususnya ketika Sabah menjadi tuan rumah MTQ Kebangsaan kali ke 53 tahun 2010 dahulu. Alhamdulillah, saya mendengar mereka bercerita tentang kenangan-kenangan manis di Sabah khususnya layanan baik petugas-petugas Sabah kepada mereka terutama pegawai perhubungan (LO) negeri-negeri dan para pemandu yang banyak membantu kesulitan mereka di negeri orang.

Kesempatan duduk bersama para qari-qari negeri di peringkat kebangsaan ini menjadikan saya berpeluang menyelami sedikit sebanyak pengalaman dan ilmu mereka dalam bidang tilawah al-Quran. Lucu juga apabila bercerita sesama mereka, di sebelah kiri Sabah, ke kanan Kelantan, ke kanan lagi Perlis dan seterusnya dengan loghat masing-masing. Mudah-mudahan ukhuwah ini tetap berterusan.

Ada masa senggang selepas asar, kami bersama Pegawai Perhubungan (LO) untuk Sabah Ustaz Azhar Samadun, bersiar-siar sekitar bandaraya Johor Bahru. Untung juga kami mendapat LO dan pemandu yang baik hati. Saya memahami kesemuanya keletihan setelah berjalan jauh pada sebelah pagi dalam program lawatan yang telah diatur oleh jawatankuasa lawatan. Sebab itu saya hanya mahu keluar semula selepas asar supaya ada masa rehat selepas makan tengahari sampai asar.

Lokasi pertama kami ialah di pasar khidmat, Allahu Rabbi melihat longgokan dan berbakul-bakul buah durian, kami duduk seketika dan menikmati kelazatannya. Hmmm.. sempat merasa durian musang king yang terkenal itu. Saya sebenarnya kurang maklum dan lupa pula bertanya dari mana datang durian berkenaan. Ada durian d24 dan lain-lain. Separuh perjalanan makan kami, datang pula kawan-kawan rombongan Sarawak, pun duduk makan durian sekali. Lucu pula melihat pemandu kami, Jamil, malu-malu makan durian. Hihi..

Ada sedikit masa kami singgah sebentar di Danga Bay, melihat pemandangan indah matahari yang hampir terbenam.

%d bloggers like this: