Archive for 6 Jun 2012


Lokasi ini dipanggil ‘tanah terselatan benua Asia’, terletak di Mukin Serkat Pontian Johor. Maklumat yang diberikan kepada kami mencatatkan lokasi kali ini – Tanjung Piai – dinamakan sempena pokok bijirin tempatan yang dikenali sebagai paki piai yang merupakan sejenis tumbuhan bijirin yang boleh hidup di kawasan masin.

Tanjung Piai meliputi kawasan bakau seluas 526 hektar dan lagi 400 hektar dataran berlumpur. Kawasan ini juga diiktiraf sebagai tapak RAMSAR yang diuruskan oleh Johor National Park Corporation (JNPC). Pada 31 Januari 2003 taman ini diisytiharkan sebagai tapak Ramsar, dan pada 26 Febuari 2004 telah digazetkan sebagai Taman Negara Johor.

Setiap hari sejak tiba ke Johor ini, saya akan menghantar laporan semasa kepada pegawai-pegawai kanan JHEAINS akan perkembangan dan aktiviti rombongan Sabah di sini selain mereka membaca catatan di facebook saya dan di blog ini. Sehari sekali atau dua kali saya akan memberi laporan khususnya kepada Timbalan Pengarah Ustaz Sidik Ag Adi, KPP Bahagian Penyelidikan & Informasi Ustaz Musally Moksin, Penolong Pengarah BPI Ustaz Jumain Abd Ghani dan lain-lain.

Selaku pengiring, suka saya memaklumkan bahawa setakat ini disiplin qari dan qariah Sabah sangat baik dan mereka memiliki motivasi yang tinggi. Keadaan ini sangat menggembirakan saya apatah lagi komukasi yang sangat lancar sesama kami. Tiada masalah yang saya hadapi, apatah lagi Pegawai Perhubungan untuk Negeri Sabah Ustaz Azhar sangat mengambil berat keadaan kami. Alhamdulillah.

Pada satu sisi, JAKIM tidak membenarkan qari dan qariah menyertai lawatan pada hari mereka akan naik ke pentas untuk mempersembahkan tilawah mereka. Makan minum mereka juga sangat terjaga, walaupun makan minum agak mewah dan menyelerakan, qari qariah tetap menjaga pemakanan dan minuman untuk menghasilkan suara yang terbaik.

Sebelah pagi, qariah Sabah anakanda Faten terlibat dalam sesi cabut undi giliran dan ayat yang akan dibaca, seterusnya melakukan latihan akhir sehingga jam 3 petang. Satu jam yang terakhir, saya menyemak tajwid dan fasohah termasuk masalah waqaf dan ibtida’. Suaranya sudah mulai serak, saya minta dia berehat sehingga tiba gilirannya.

Menjelang giliran Faten pada malam tadi, sekitar jam 8 malam lagi beliau sudah berada di bilik menunggu untuk para qariah. Dia yang membaca, Allahu rabbi, Dia saja Maha Mengetahui yang saya pula berdebar lebih. Kami semua datang buat pertama kali. Qari dan qariah bersama kedua-dua pengiring, pertama kali mewakili Sabah kali ini, maka saya mahu memastikan persiapan berjalan lancar. Saya sms kepada ramai sahabat, kawan-kawan, pegawai-pegawai JHEAINS, para hakim MTQ Sabah memaklumkan ayat yang akan dibaca oleh Faten.

Debaran pertama selesai apabila Faten selesai membaca. Alhamdulillah, saya kira tiada sangat kesalahan besar yang dilakukan. Saya ada sasaran markah untuknya, tetapi saya tidak berhajat untuk memaparkan di sini. Tinggal debaran menjelang giliran Ustaz Rafi dan debaran malam penutupan lagi. Ustaz Rafi akan membaca pada khamis (esok malam jumaat), dan penutupan pada jumaat malam sabtu bersama Sultan Johor.

Malam tadi seramai 9 peserta iaitu 5 qari dan 4 qariah mempersembahkan bacaan masing-masing. Keseluruhannya ada 27 peserta seluruh negara akan tampil ke astaka ini. Semoga semuanya dapat mempersembahkan tilawah yang terbaik demi dakwah Islam agar manusia semakin minat membaca dan mencintai al-Quran.

%d bloggers like this: