Archive for 31 Mei 2012


Dalam ilmu dakwah secara teori dan praktikal, kaedah dakwah bilhal iaitu dakwah dengan cara menunjukkan teladan seperti kebajikan, akhlak yang luhur dan seumpamanya merupakan kaedah paling berkesan berbanding dengan kaedah yang lain. Justeru misi khidmat kemanusiaan kepada sasaran tanpa mengira bangsa dan agama merupakan satu bentuk dakwah yang sangat baik.

Itu antara rumusan yang saya perolehi setelah menyaksikan forum amal di perkarangan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu malam tadi. Forum berkenaan menampilkan Tuan Haji Hussin Ismail (Presiden Yayasan Amal Malaysia), Dr Awisul Islah Ghazali (Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina – PAPISMA) dan Tuan Haji Khairan Untoh sebagai moderatornya.

Menceritakan pengalaman menjelajah ke hampir merata negara di seluruh dunia terutama yang dilanda musibah, Tuan Haji Hussin menyaksikan ratusan NGO kebajikan menghulurkan bantuan dengan misi tersurat dan tersirat masing-masing. Katanya dalam misi-misi dakyah agama tertentu tiga perkara yang mereka bawa iaitu ubat, air dan pendidikan yang akhirnya akan membawa sasaran kepada agama mereka secara langsung atau tidak.

Maka katanya, jika dibiarkan apakah yang akan berlaku kepada sebahagian umat Islam yang menjadi mangsa musibah jika tiada umat Islam lain yang mahu mengambil berat akan keadaan ini. Maka Yayasan Amal Malaysia, katanya dengan semangat berlumba-lumba berbuat kebajikan sebagaimana anjuran al-Quran, ingin menabur bakti melalui pendekatan kebajikan, kemanusiaan dan kemasyarakatan berteraskan Islam kepada ummat merentasi geografi, agama, suku kaum dan bangsa.

Sementara Dr Awisul Islah menjelaskan, walaupun tidak kerap ke luar negara, mereka tetap menghantar wakil ke misi-misi kemanusiaan seperti ke Palestin dan sebagainya. Menjelaskan Sabah sebagai cawangan termuda mereka, mereka telah mengadakan beberapa aktiviti berlandaskan kebajikan, kesihatan dan perubatan kepada masyarakat antaranya di Sandakan dan Kota Kinabalu. Walaupun dalam keterbatasan ahli dan kedudukan mereka yang berjauhan, beberapa program akan tetap disusun dan dijalankan daripada masa ke masa.

PAPISMA kata Dr Awisul, sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membantu masyarakat memahami dan menjiwai kaedah serta sistem perubatan dan perawatan yang selari dengan al-Qur’an dan Sunnah serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Sehingga kini PAPISMA telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang penjagaan kesihatan melalui pelbagai kaedah seperti rawatan kesihatan percuma, bengkel-bengkel kesihatan, ceramah-ceramah, pameran dan sebagainya.

Forum berkenaan diadakan sempena Karnival Amal (Istiqbal Ramadhan) Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang berlangsung bermula 30 Mei dan berakhir pada 3 Jun akan datang.

%d bloggers like this: