Jujurnya sudah beberapa tahun tidak menjejakkan kaki ke gelanggang bola tampar, tapi apabila pertama kali nama saya tercatat dalam senarai ‘rumah merah’ dalam sukan jabatan, saya memilih untuk menyertai sukan ini. Sebenarnya ada beberapa sukan lain seperi futsal, sepak takraw dan lain-lain, tetapi saya lebih meminati sukan bola tampar.

Sepanjang siang tadi, oleh kerana Sabah bercuti hari ini dan esok sempena Pesta Kaamatan, maka JHEAINS mengambil kesempatan untuk mengadakan liga bola tampar melibatkan warganya yang diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu. Terdapat empat kumpulan, kuning, hijau, merah dan biru,  dan setiap kumpulan menghantar dua pasukan – lelaki dan perempuan.

Kejohanan bermula pada jam 9.30 pagi dengan pasukan kami bertemu dengan pasukan kuning. Pasukan kami antaranya pemainnya ialah Ybhg Datuk Haji Amri Suratman, Ustaz Jumain Abdul Ghani, Jamion Osman, Hafiz Mursal, Khairum Manzah dan saya sendiri. Pada perlawanan kedua, baru muncul kawan-kawan lain iaitu Zulfauzi Awang Besar dan Mahali.

Keseluruhannya, pasukan kami menduduki tempat kedua dengan rekod kalah sekali kepada pasukan kuning dan menang dua kali mengatasi rumah biru dan hijau. Yang menariknya, saya baru tahu Datuk Amri yang sudah berada di pertengahan 50an, mempunyai bakat bermain bola tampar yang baik. Kehadiran Khairum, Zulfauzi, Mahali dan kawan-kawan yang lain semuanya membantu dan bermain secara berpasukan. Ada satu perlawanan pasukan lain – kuning lawan biru yang tidak saya tonton kerana sudah kepenatan.

Saya kira kami mendapat manfaat yang besar kerana sebahagian pemain-pemain yang beraksi asalnya tidak saya kenali atau rapat. Tetapi dengan acara sebegini ia seolah-olah memaksa kami berkenalan dan berukhuwah antara satu sama lain. Tapi, kesan sisi yang lain, kaki dan seluruh tubuh sakit-sakit selepas bermain, maklumlah sebelum liga berlansung, hanya beberapa kali saja kami berlatih bersama.

Saya menyokong pendapat dan cadangan beberapa kawan-kawan lain agar latihan mingguan diadakan sebelah petang walaupun setelah liga ini berakhir.