Archive for 30 Mei 2012


Jujurnya sudah beberapa tahun tidak menjejakkan kaki ke gelanggang bola tampar, tapi apabila pertama kali nama saya tercatat dalam senarai ‘rumah merah’ dalam sukan jabatan, saya memilih untuk menyertai sukan ini. Sebenarnya ada beberapa sukan lain seperi futsal, sepak takraw dan lain-lain, tetapi saya lebih meminati sukan bola tampar.

Sepanjang siang tadi, oleh kerana Sabah bercuti hari ini dan esok sempena Pesta Kaamatan, maka JHEAINS mengambil kesempatan untuk mengadakan liga bola tampar melibatkan warganya yang diadakan di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu. Terdapat empat kumpulan, kuning, hijau, merah dan biru,  dan setiap kumpulan menghantar dua pasukan – lelaki dan perempuan.

Kejohanan bermula pada jam 9.30 pagi dengan pasukan kami bertemu dengan pasukan kuning. Pasukan kami antaranya pemainnya ialah Ybhg Datuk Haji Amri Suratman, Ustaz Jumain Abdul Ghani, Jamion Osman, Hafiz Mursal, Khairum Manzah dan saya sendiri. Pada perlawanan kedua, baru muncul kawan-kawan lain iaitu Zulfauzi Awang Besar dan Mahali.

Keseluruhannya, pasukan kami menduduki tempat kedua dengan rekod kalah sekali kepada pasukan kuning dan menang dua kali mengatasi rumah biru dan hijau. Yang menariknya, saya baru tahu Datuk Amri yang sudah berada di pertengahan 50an, mempunyai bakat bermain bola tampar yang baik. Kehadiran Khairum, Zulfauzi, Mahali dan kawan-kawan yang lain semuanya membantu dan bermain secara berpasukan. Ada satu perlawanan pasukan lain – kuning lawan biru yang tidak saya tonton kerana sudah kepenatan.

Saya kira kami mendapat manfaat yang besar kerana sebahagian pemain-pemain yang beraksi asalnya tidak saya kenali atau rapat. Tetapi dengan acara sebegini ia seolah-olah memaksa kami berkenalan dan berukhuwah antara satu sama lain. Tapi, kesan sisi yang lain, kaki dan seluruh tubuh sakit-sakit selepas bermain, maklumlah sebelum liga berlansung, hanya beberapa kali saja kami berlatih bersama.

Saya menyokong pendapat dan cadangan beberapa kawan-kawan lain agar latihan mingguan diadakan sebelah petang walaupun setelah liga ini berakhir.

Sumber : di sini

Pada 18 Mei 2012, bersempena Minggu Semarak Al-Quran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1433H/2012 , Jakim Cawangan Sabah dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Wisma Harta, Jabatan Penerangan dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah telah menganjurkan Program Bicara Al-Quran bertempat di Dewan Saadah, Wisma MUIS, Kota Kinabalu.

Seramai 600 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan persekutuan, agensi agama, NGO Islam, Pelatih PLD Kudat dan Keningau serta orang awam telah berminat mengikuti program berkenaan. Objektif program ialah untuk menyemarakkan lagi Majlis Tilawah Al-Quran dan memasyarakatkan tilawatil Quran dalam kehidupan serta memperkaya minda masyarakat melalui perkongsian ilmu.

Dua orang penceramah telah diundang iaitu Y.Bhg S.F Tuan Haji Ahmad Mustafa bin Mohd Sidin, Imam Besar Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Negeri Selangor dengan tajuk “ Penghayatan dan Penguasaan Al-Quran Dalam kehidupan” dan Y.Bhg Tuan Haji Muhammad Fitri bin Abdullah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dengan tajuk “Al-Quran Sebagai Syifa Dan Rahmat”.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Y.Bhg Datuk Haji Amri bin A. Suratman, Pengarah JHEANS. Turut hadir ialah Y.Bhg Tuan Haji Ahmad Zaki bin Haji Arsad, Pengarah Jakim Cawangan Sabah, Ketua-ketua Jabatan dan Pimpinan NGO Islam Sabah.

Program tersebut juga dimeriahkan lagi dengan Kuiz Bicara Al-Quran. Peserta yang hadir begitu komited memberi perhatian sepanjang program berlangsung. Sempena Minggu Semarak Al-Quran tersebut juga pertandingan pidato terbuka kepada pelajar sekolah menengah dan saudara kita dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak tadika turut diadakan.

%d bloggers like this: