Saya tidak berhajat untuk menghuraikan kelebihan membaca ma’thurat yang sudah terkenal itu. Banyak artikel dan tulisan yang menjelaskan keutamaannya baik di buku-buku, di blog dan web berdasarkan hadith-hadith dan ilmu tafsir sebagaimana huraian para ulama’. Semua yang cintakan agama menyanjung usaha murni almarhum asy-Syahid Hassan al-Banna menyusun ayat al-Quran dan doa-doa ma’thur untuk dijadikan wirid umat Islam.

Walaubagaimanapun saya ingin membuat catatan berkenaan amalan ini di maahad kami yang sepanjang pengetahuan saya, ia baru bermula. Barangkali kami tertinggal berbanding institusi lain, tetapi ia lebih baik berbanding langsung tiada. Ianya bermula ketika sambutan para siswa siswi baru, persatuan pelajar memasukkan bacaan ma’thurat sebagai salah satu slot wajib.

Maka saya mencadangkan mereka menjadikan amalan membaca ma’thurat sebagai amalan tetap selepas solat asar setiap. Alhamdulillah, sejak dua minggu kebelakangan, amalan ini tetap berterusan dan mereka bergilir-gilir memimpin wirid berkenaan. Buat permulaan, mereka hanya membaca ma’thurat sughra dan hanya sehari sekali. Insya Allah selepas ini, apabila amalan ini sudah sebati, mungkin akan ditingkatkan pagi dan petang pula. Insya Allah.

Saya meyakini, memulakan sesuatu yang baik dan kemudian dituruti orang lain, akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT. Justeru walaupun kelihatan kecil, ia tetap signifikan.