Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin, Kg Sipanggil Putatan

Sihir ada dalam mana-mana masyarakat, baik masyarakat maju seperti yang wujud sekarang ini mahupun masyarakat mundur. Ahli-ahli sihir mengambil kesempatan berlandaskan profesion mereka di mana-mana sahaja dengan taktik dan strategi yang boleh menawan mangsa untuk faedah keduniaan semata-mata tanpa memperdulikan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Ahli-ahli sihir ini biasanya melakukan apa sahaja yang diminta untuk memuaskan hati pelanggan mereka asalkan sahaja sanggup menyediakan bayaran yang lumayan. Kerana itu berlakulah perbuatan sihir yang mengakibatkan mangsa tersebut jatuh sakit dengan tiba-tiba tanpa sebab yang jelas, berlaku permusuhan, perceraian, gila, runsing yang kronik malah sehingga membawa maut yang berpunca daripada sihir.

Oleh sebab sihir itu wujud dan berlaku di alam nyata, ia bukan lagi khalayan. Kemudharatannya amat ketara dan boleh berlaku ke atas sesiapa sahaja yang ditujukan oleh pengamal-pengamal sihir tersebut. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah disihir oleh ahli sihir pada zamannya sebagaimana yang sabit dalm sebuah hadith sahih, menunjukkan seriusnya fenomena sihir itu yang mesti ditangani oleh pihak berwajib.

Melalui pelbagai dalil al-Quran dan sunnah, jelas menunjukkan bahawa sihir adalah perbuatan yang dilarang. Bahkan dalam sebuah hadith ada menjelaskan bahawa sihir berada pada kedudukan kedua selepas syirik dan mendahului perbuatan membunuh. Ini menggambarkan seolah-olah membunuh manusia tidaklah seteruk perbuatan sihir. Oleh itu hukum sihir adalah haram berdasarkan dalil-dalil yang jelas.